Jurutera kapal hilang dalam insiden kebakaran di Selat Hormuz

Selat Hormuz/ AFP

DUBAI, 4 Ogos- Seorang jurutera kapal dilaporkan hilang selepas kapal berkenaan didakwa terkena “objek tidak dikenali” ketika melalui Selat Hormuz sebelum kebakaran tercetus, menurut sebuah syarikat keselamatan maritim Britain pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal pukal berbendera Liberia, MINOAN PIONEER, terkena 'objek tidak dikenali' semasa belayar ke utara melalui Selat Hormuz.
  • Objek dipercayai mengenai ruang enjin, menyebabkan kebakaran di kawasan penginapan kru dan kehilangan kuasa sepenuhnya kepada kapal.
  • Insiden berlaku kira-kira 20 batu nautika timur laut Al Khasab, Oman, menimbulkan kebimbangan terhadap rundingan AS-Iran dan keselamatan laluan minyak.

Syarikat Vanguard Tech mengenal pasti kapal berkenaan sebagai kapal pengangkut pukal berbendera Liberia, Minoan Pioneer yang terkena objek terbabit ketika belayar ke arah utara melalui Selat Hormuz pada pukul 2.00 pagi waktu tempatan.

Menurut syarikat itu, objek berkenaan dipercayai mengenai ruang enjin kapal sebelum kebakaran berlaku di kawasan penginapan kru.

“Kebakaran tercetus di kawasan penginapan. Kru sedang memadam kebakaran dan memerlukan bantuan, sementara jurutera ketiga dilaporkan hilang,” menurut Vanguard.

Syarikat itu berkata panggilan kecemasan awal disampaikan oleh kapal tangki berbendera Panama, Suriname Prosperity yang memaklumkan Minoan Pioneer mengalami kehilangan kuasa sepenuhnya dan memerlukan bantuan.

Sebelum itu, Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan kapal berkenaan melaporkan terkena “objek tidak dikenali” dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan.

Kejadian berlaku kira-kira 20 batu nautika (37 kilometer) timur laut Al Khasab, Oman.

Insiden itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perkapalan di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dan gas dunia ketika ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran berterusan.

Selat Hormuz sebelum ini sering menjadi tumpuan ketika konflik dan ketegangan geopolitik meningkat berikutan kepentingannya terhadap bekalan tenaga global. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.