
PARLIMEN, 4 Ogos – Kerajaan belum bercadang memperkenalkan skim pelaburan atau dana pendidikan nasional yang diberikan secara automatik kepada setiap bayi yang dilahirkan.
- Kerajaan akan terus meneliti mekanisme baharu bagi memperluas akses kepada simpanan pendidikan.
- Pertimbangan pelaksanaan perlu mengambil kira kemampanan fiskal, impak kewangan jangka panjang dan keberkesanan pelaksanaan.
- Kerajaan menggalakkan budaya menabung melalui SSPN untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, kerajaan bagaimanapun akan terus meneliti mekanisme baharu bagi memperluas akses kepada simpanan pendidikan.
“Kita akan menilai dari semasa ke semasa pelbagai cadangan baharu termasuk mekanisme yang boleh memperluaskan lagi akses kepada simpanan pendidikan.
“Sebarang pertimbangan untuk pelaksanaan perlu mengambil kira aspek kemampanan fiskal kerajaan, impak kewangan jangka panjang serta keberkesanan pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Tun Samy Vellu pada sesi soal jawab di Dewan Negara mengenai cadangan mewujudkan skim pelaburan atau dana pendidikan nasional bagi setiap bayi, khususnya daripada keluarga golongan B40 dan M40.
Menurut Adam Adli, kerajaan ketika ini terus menggalakkan budaya menabung bagi pendidikan tinggi menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang diuruskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya, pendekatan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman pendidikan pada masa hadapan.
Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 7.5 juta akaun SSPN dibuka dengan jumlah simpanan terkumpul mencecah RM25.5 bilion.
Katanya, pada tahun 2025, PTPTN telah pun memberikan dividen sebanyak 4.1 peratus, yang merupakan dividen tertinggi dalam tempoh 11 tahun untuk penyimpan dalam SSPN