
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kerajaan melaksanakan strategi tiga peringkat bagi menstabilkan bekalan dan harga makanan negara susulan pergolakan di Asia Barat.
- Langkah jangka pendek: pengecualian SST untuk baja tertentu, kenaikan insentif pesawah, peningkatan bantuan tunai BUDI dan subsidi diesel dikekalkan.
- Langkah jangka sederhana: mengoptimumkan produktiviti kawasan pengeluaran dan melaksanakan program sara diri seperti Program Kebuniti dan Kebun Dapur Isi Rumah.
- Langkah jangka panjang: RUU Keterjaminan Makanan Negara, mekanisme stok penimbal baja, Zon Pengeluaran Makanan Negara dan penyelarasan PPAN 2026.
Strategi itu merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengurangkan kos, meningkatkan pengeluaran serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, bagi langkah jangka pendek, kerajaan memberi pengecualian sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi baja pertanian tertentu sehingga 31 Disember 2027.
“Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) turut dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026, melibatkan tambahan dana kira-kira RM40 juta dan memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah.
“Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi pula dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan mulai April lalu, manakala subsidi diesel nelayan pada kadar RM1.65 seliter dikekalkan bagi vesel Zon A, B dan C,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli pada sesi soal jawab di Dewan Negara mengenai strategi kerajaan menstabilkan bekalan dan harga makanan susulan pergolakan di Asia Barat.
Tambah beliau, bagi jangka sederhana, kerajaan mengoptimumkan produktiviti kawasan pengeluaran makanan sedia ada.
Program sara diri rakyat seperti Program Kebuniti dan Kebun Dapur Isi Rumah turut dilaksanakan.
Bagi jangka panjang, kerajaan merangka Rang Undang-Undang (RUU) Keterjaminan Makanan Negara selain mewujudkan mekanisme stok penimbal baja serta Zon Pengeluaran Makanan Negara.
“KPKM optimis bahawa melalui pendekatan menyeluruh dan strategi struktural yang dinamik ini, ekosistem bekalan makanan negara akan kekal ampuh dan berdaya tahan dalam mendepani apa jua impak krisis geopolitik di Asia Barat,” katanya.
Katanya, kerajaan turut melaksanakan Penjajaran Semula Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN 2026) dengan memberi keutamaan kepada projek utama berimpak tinggi berbanding projek sampingan.