
SEREMBAN, 4 Ogos – Kerajaan Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan jawatan Timbalan EXCO sebagai sebahagian usaha memperkukuh pentadbiran negeri serta memberi peranan kepada lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
- Senarai EXCO belum dimuktamadkan; perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar dan dibincang di peringkat parti, dijangka diumumkan Jumaat atau selewat-lewatnya Isnin.
- Barisan EXCO dijangka melibatkan wakil daripada parti-parti yang membentuk kerajaan negeri.
- Datuk Ismail memulakan tugas rasmi selepas angkat sumpah; pelantikan menyusuli kemenangan BN-PN memperoleh 25 daripada 36 kerusi DUN.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, cadangan itu masih di peringkat penelitian dengan mengambil kira komposisi parti dalam kerajaan negeri serta agihan kawasan.
Beliau berkata, senarai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) masih belum dimuktamadkan kerana perlu dipersembahkan terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selain dibincangkan di peringkat parti.
“Bayangan sudah ada, tetapi ia belum dipersembahkan kepada Tuanku dan juga kepada pihak parti. Insya-Allah, paling cepat diumumkan pada Jumaat dan selewat-lewatnya Isnin,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri, di sini.
Menurut Datuk Ismail, barisan EXCO negeri dijangka melibatkan wakil daripada parti-parti yang membentuk kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Ahad lalu.
Beliau melaporkan diri di Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri pada pukul 9 pagi sebelum meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung 1 Ogos lalu, beliau mempertahankan kerusi DUN Juasseh dengan majoriti 4,091 undi.
Pelantikan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar menyusuli kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.