
RANTAU PANJANG, 4 Ogos – Seorang lelaki ditahan selepas membawa kira-kira 1.35 tan buah-buahan dan hasil pertanian dari Thailand tanpa dokumen sah melalui Pengkalan Haram Kak Mah, Lubok Gong di sini pada Isnin.
- Pemeriksaan van menemui pelbagai hasil: 300 kg durian, 300 kg limau nipis, 200 kg manggis, 200 kg pisang, 200 kg serai, 150 kg ubi keledek.
- Suspek dikatakan menerima upah RM100 untuk membawa barangan itu bagi tujuan jualan.
- Siasatan awal mendapati semua hasil diperoleh dari Thailand dan dibawa masuk melalui pangkalan haram Kak Mah.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976; keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai dianggarkan RM30,000.
Lelaki berkenaan dipercayai menerima upah RM100 untuk membawa barangan itu bagi tujuan jualan.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah malam.
Menurutnya, anggota yang menjalankan rondaan mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan menemukan 300 kilogram (kg) durian, 300kg limau nipis, masing-masing 200kg manggis, pisang dan serai serta 150kg ubi keledek.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati semua hasil pertanian itu diperoleh dari Thailand dan dibawa masuk melalui pangkalan haram berkenaan.
Menurutnya, keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM30,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).