Empat maut kenderaan dihempap pokok di Bentong

Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang dihempap pokok di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke Pintu Gerbang Janda Baik, Bentong/ BERNAMA

BENTONG, 3 Ogos – Empat individu termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Lama Kuala Lumpur menghala ke Pintu Gerbang Janda Baik, Bentong, tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
  • Empat mangsa maut: pemandu 35, wanita 36 dengan kanak-kanak lelaki 5 tahun di pangkuan, serta lelaki 40 di belakang.
  • Mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat; identiti mangsa belum diperoleh dan siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 36 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangkunya, serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang berada di tempat duduk belakang”, katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

Kanak-kanak yang cedera itu dipercayai merupakan kembar kepada kanak-kanak yang maut berdasarkan dokumen pengenalan yang ditemui.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk dibedah siasat.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. Identiti empat mangsa terbunuh belum diperoleh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.