Rusuhan penjara Sri Lanka berulang, seorang banduan maut, enam cedera

Anggota Tentera Sri Lanka melakukan rondaan menaiki kereta kebal tentera di luar kompleks Penjara Mahara di pinggir Colombo / Foto AFP

COLOMBO, 2 Ogos – Sri Lanka mengerahkan ratusan anggota tentera dan komando Pasukan Petugas Khas (STF) pada Ahad bagi mengawal rusuhan di sebuah penjara yang sesak, mengakibatkan seorang banduan maut dan enam lagi cedera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keadaan di Penjara Mahara kini terkawal selepas banduan merosakkan beberapa bangunan dalam rusuhan.
  • Dapur, hospital, bangunan pemulihan baru dan kemudahan latihan vokasional dilaporkan musnah sepenuhnya.
  • Penjara menempatkan kira-kira 4,100 banduan, hampir empat kali ganda kapasiti asal; kesesakan turut berlaku di kebanyakan penjara.
  • Rusuhan berlaku sekitar sebulan selepas insiden terdahulu yang mengorbankan 10 pengawal penjara dan 21 banduan.

Timbalan Ketua Polis Sri Lanka, Sanjeewa Medawatte berkata, keadaan di Penjara Mahara di pinggir ibu negara kini terkawal selepas banduan merosakkan beberapa bangunan dalam rusuhan yang tercetus pada Sabtu.

“Kami menerima bantuan anggota tentera dan komando Pasukan Petugas Khas untuk memulihkan keadaan serta mengarahkan semua banduan kembali ke sel masing-masing,” katanya kepada pemberita di luar penjara.

Menurut Medawatte, banduan memusnahkan sepenuhnya dapur, hospital, bangunan pemulihan yang baharu dibina serta kemudahan latihan vokasional di penjara berkenaan.

Penjara Mahara menempatkan kira-kira 4,100 banduan, iaitu hampir empat kali ganda daripada kapasiti asalnya.

Masalah kesesakan seperti itu turut berlaku di kebanyakan penjara di seluruh Sri Lanka.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan rancangan menukar beberapa bangunan milik kerajaan yang tidak lagi digunakan kepada penjara bagi mengurangkan kesesakan.

Rusuhan terbaharu itu berlaku kira-kira sebulan selepas satu lagi rusuhan penjara di kawasan sama yang mengorbankan 10 pengawal penjara dan 21 banduan.

Pada November 2020, Penjara Mahara turut menyaksikan rusuhan yang mengakibatkan 11 banduan ditembak mati, manakala hampir 120 lagi cedera.

Lebih tiga perempat daripada banduan di Sri Lanka merupakan tahanan reman yang masih menunggu perbicaraan, dengan kebanyakannya ditahan atas kesalahan berkaitan dadah. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.