
PUTRAJAYA, 1 Ogos – Masyarakat diseru mengamalkan sikap bertanggungjawab bagi memastikan Pembudayaan terhadap kebersihan awam terpelihara
- Pastikan pengunjung membuang sampah di tong disediakan untuk elak lambakan sampah seperti insiden di Dataran Merdeka.
- Tanggungjawab bersama; bukan tugas PBT semata-mata untuk kutip sampah selepas acara.
- Perbadanan Putrajaya akan tambah tong sampah dan tingkatkan kekerapan kutipan bagi memastikan kawasan sambutan sentiasa bersih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, amalan itu perlu diperkukuh agar setiap penganjuran program dan sambutan rasmi dapat menyerlahkan nilai kebersihan, disiplin serta semangat sivik dalam kalangan masyarakat.
Ini termasuk mereka yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan membuang sampah di tempat yang disediakan bagi memastikan kawasan sambutan kekal bersih supaya insiden lambakan sampah yang berlaku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini berulang kembali.
“Dan saya akan pastikan Perbadanan Putrajaya membuat peringatan kepada semua yang hadir. Ini adalah tanggungjawab bersama. Tanggungjawab PBT bukan untuk mengutip sampah selepas acara program sambutan. Sambutan itu mesti datang dengan rasa tanggungjawab. Itu yang kita nak serapkan dalam jiwa semua yang hadir.
” Kalau tidak, bayangkan kita datang ke sambutan kemerdekaan, tetapi apabila kita pulang penuh dengan sampah. Saya rasa tak manis. Saya menyeru kepada semua yang akan hadir program seperti ini untuk pastikan mereka membuang sampah di tempat yang disediakan,” katanya selepas merasmikan Program MADANI KITA (PMK) bersama komuniti Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Tambah Hannah lagi, Perbadanan Putrajaya (PPj), akan menambah kemudahan tong sampah yang mencukupi di lokasi yang sesuai serta meningkatkan kekerapan kutipan sampah bagi memastikan kawasan sambutan sentiasa bersih dan selesa.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cek cura sumbangan khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumlah RM5,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terpilih.