
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas kejayaan merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, awal pagi tadi.
- Azizul digelar 'The Pocket Rocketman' dan dianggap insan hebat yang harumkan nama negara di pentas dunia.
- Kejayaan hasil daripada perjalanan panjang penuh cabaran, termasuk jatuh bangun dan kecekalan untuk terus bangkit.
- Penghargaan terhadap sumbangan Azizul yang menjadi inspirasi kepada rakyat, khususnya golongan muda untuk terus mengejar kejayaan.
- Azizul antara ikon sukan negara, mencipta kejayaan membanggakan dalam arena berbasikal trek antarabangsa.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan atlet yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu sebagai insan hebat yang telah mengharumkan nama negara menerusi pencapaian cemerlang di pentas dunia.
Beliau berkata, kejayaan Azizulhasni adalah hasil daripada perjalanan panjang yang penuh cabaran, termasuk pengalaman jatuh bangun serta kecekalan untuk terus bangkit dan berjuang tanpa mengenal erti menyerah.
“Tiada kata mampu menggambarkan betapa bangganya kita melihat segala kejayaan yang dilakar insan hebat ini.
“Bertahun-tahun membawa nama Malaysia di pentas dunia, jatuh dan bangkit, berjuang tanpa pernah mengenal erti menyerah,” katanya.
Datuk Seri Fahmi turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Azizulhasni yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan muda untuk terus mengejar kejayaan.
“Tahniah, Dato’ Azizul!” katanya.
Azizulhasni merupakan antara ikon sukan negara yang mencipta pelbagai kejayaan membanggakan dalam arena berbasikal trek antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia.