Tiada keperluan tubuh Suruhanjaya Khas OKU, tumpu perkasa dasar sedia ada

Foto FB LIM HUI YING

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata pendekatan kerajaan ketika ini lebih tertumpu kepada memperkukuh mekanisme sedia ada berbanding menubuhkan Suruhanjaya atau Tribunal Khas OKU.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran utama adalah jurang pelaksanaan dasar, bukan ketiadaan institusi baharu.
  • Perlu memperkukuh kapasiti institusi dan meningkatkan koordinasi antara kementerian serta agensi.
  • SUHAKAM diperkuat melalui pindaan 2024 dengan mandat Pesuruhjaya OKU; aduan juga boleh dikemukakan kepada SUHAKAM atau SISPAA.

Langkah itu bagi memastikan pelaksanaan dasar berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU) dapat diperkasa.

“Cabaran utama berkaitan golongan OKU ketika ini bukan kekurangan institusi baharu, sebaliknya memastikan pelaksanaan dasar sedia ada terus diperkukuh,” katanya.

“Suruhanjaya lazimnya bersifat pemantauan dan nasihat, manakala cabaran utama OKU di Malaysia pada masa ini ialah pelaksanaan (implementation gap), bukannya kekosongan institusi (institutional gap).

Sehubungan itu, dalam keadaan semasa, pendekatan yang lebih wajar ialah memperkukuh kapasiti institusi dan mekanisme sedia ada serta meningkatkan koordinasi antara kementerian dan agensi,” tambah beliau.

Dalam aspek hak asasi manusia pula, beliau berkata fungsi pemantauan turut diperkukuh menerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), yang mandatnya merangkumi pemajuan dan perlindungan hak semua individu termasuk OKU.

“Mandat SUHAKAM di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 [Akta 597] telah merangkumi pemajuan dan perlindungan hak semua individu, termasuk OKU.

Ini diperkukuhkan lagi dengan pindaan Akta SUHAKAM pada tahun 2024 yang telah memperuntuk sekurang-kurangnya seorang Pesuruhjaya OKU, sekali gus memperkukuh perhatian terhadap hak OKU dalam struktur sedia ada. Puan Bathmavathi a/p K. Krishnan, seorang OKU Fizikal telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya bagi tempoh tiga (3) tahun bermula 20 Ogos 2025 hingga 19 Ogos 2028,” tambah beliau.

Beliau menjawab soalan Senator Tuan Isaiah a/l D Jacob pada persidangan Dewan Negara berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Parlimen OKU, Suruhanjaya Hal Ehwal OKU yang setaraf dengan SUHAKAM serta Tribunal Khas OKU.

Dalam pada itu, individu OKU mempunyai saluran untuk mengemukakan aduan kepada SUHAKAM berkaitan pelanggaran hak asasi, manakala isu berkaitan penyampaian perkhidmatan kerajaan boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.