
PETALING JAYA, 30 Julai – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM1.3 bilion tahun ini.
- Peningkatan kutipan zakat dan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif wakaf termasuk Sistem Wakaf Tunai.
- Masyarakat mula memahami kepentingan mewakafkan harta dan membuat potongan gaji untuk wakaf tunai.
- Penghargaan kepada peranan media sebagai rakan strategik menyampaikan maklumat kutipan, agihan zakat dan inisiatif bantu golongan asnaf.
Pengerusinya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, sasaran itu dibuat berikutan peningkatan kutipan zakat serta sambutan menggalakkan terhadap inisiatif wakaf termasuk pelaksanaan sistem wakaf tunai.
“Kita juga mendapat peningkatan dalam wakaf. maksudnya masyarakat kita dah mula memahami kepentingan untuk mewakafkan harta dan kita ada Sistem Wakaf Tunai. Maksudnya bukan sahaja mewakafkan harta dan lain-lain, tetapi juga untuk wakafkan tunai dengan membuat potongan gaji,” katanya selepas Program Santai Boling MAIWP Bersama Media 2026, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai kutipan dan agihan zakat serta pelbagai inisiatif bagi membantu golongan asnaf.