
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan TH mendapatkan semula bonus RM2.19 juta yang dibayar kepada Ahli Lembaga Pengarah TH Properties Sdn. Bhd. pada 2017 dan 2018 kerana didapati tidak mengikut peraturan.
- Pembayaran bonus didapati menimbulkan isu pematuhan proses kelulusan dan tadbir urus syarikat.
- RCI menegur pemberian bonus tinggi kepada kakitangan walaupun TH menghadapi masalah kewangan.
- Kakitangan menerima bonus antara dua hingga 13 bulan gaji 2010 hingga 2017; bonus 2014 mencecah RM74 juta.
- RCI mendapati TH mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya mencatat keuntungan RM3.4 bilion.
Menurut laporan RCI yang diterbitkan hari ini, sebanyak RM1.148 juta bonus tersebut telah dibayar kepada Ahli Lembaga Pengarah pada 2017, manakala RM1.045 juta lagi pada 2018.
RCI mendedahkan, pembayaran bonus itu menimbulkan isu pematuhan dari segi proses kelulusan dan tadbir urus syarikat, justeru tindakan perlu diambil untuk mendapatkan semula wang berkenaan.
Laporan sama turut menegur pemberian bonus tinggi kepada kakitangan TH ketika institusi itu berdepan masalah kewangan.
Menurut laporan RCI, kakitangan TH menerima bonus antara dua hingga 13 bulan gaji dalam tempoh 2010 hingga 2017, dengan jumlah bonus yang dibayar pada 2014 sahaja mencecah RM74 juta.
Suruhanjaya berpandangan pemberian bonus itu tidak selaras dengan kedudukan kewangan sebenar TH yang ketika itu mengalami defisit aset dan liabiliti serta penyusutan nilai pelaburan.
RCI menegaskan pemberian bonus pada masa depan perlu dibuat mengikut kemampuan kewangan sebenar TH bagi memastikan pengurusan institusi itu lebih berhemat.
Sebelum ini, RCI mendedahkan TH sebenarnya mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya mencatat keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan jika piawaian pelaporan kewangan dipatuhi sepenuhnya.