
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan ahli politik aktif tidak dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH serta anak syarikatnya, sebagai langkah memperkukuh tadbir urus institusi itu.
- Struktur asas TH dikekalkan tetapi tadbir urus, kawal selia, pelaburan dan pengurusan dana perlu ditambah baik secara menyeluruh.
- Pindaan Akta 535 dicadangkan untuk mengetatkan syarat pelantikan, menuntut pengalaman dalam kewangan, ekonomi, perbankan, syariah atau perakaunan.
- Jawatankuasa atau badan penasihat bebas dicadangkan menilai cadangan pelantikan serta penamatan dan mengasingkan tanggungjawab haji dan kewangan kementerian.
- Audit forensik dicadangkan untuk pelaburan rugi; TH perlu kembali fokus pada fungsi teras dan elak pelaburan berisiko tinggi.
Dalam laporan RCI, Suruhanjaya berpandangan penglibatan ahli politik aktif dalam struktur pengurusan TH boleh menimbulkan persepsi campur tangan politik, selain menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap proses membuat keputusan dalam institusi berkenaan.
RCI bagaimanapun mencadangkan struktur asas TH dikekalkan, namun beberapa aspek termasuk tadbir urus, kawal selia, pelaburan dan pengurusan dana perlu ditambah baik secara menyeluruh.
Suruhanjaya turut mencadangkan pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memperketatkan syarat pelantikan anggota Lembaga, termasuk menetapkan keperluan pengalaman dalam bidang kewangan, ekonomi, perbankan, perniagaan, syariah atau perakaunan.
Selain itu, RCI mencadangkan penubuhan jawatankuasa atau badan penasihat bebas bagi mengemukakan cadangan pelantikan anggota Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif, termasuk menilai cadangan penamatan perkhidmatan mereka.
Di bawah model tadbir urus yang dicadangkan, urusan pengurusan haji kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala aspek kewangan, dana dan pelaburan diselia oleh Menteri Kewangan.
RCI turut mengesyorkan peranan anggota Lembaga dan pengurusan tertinggi TH dalam anak syarikat dihadkan bagi mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan fokus diberikan terhadap tanggungjawab utama organisasi.
Dalam aspek semak dan imbang, Suruhanjaya mencadangkan Jawatankuasa Urusan Haji, Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Panel Pelaburan diperuntukkan secara khusus di bawah Akta 535.
Bagi aspek pelaburan, RCI mengesyorkan audit forensik dijalankan terhadap beberapa pelaburan yang mengalami kerugian atau penyusutan nilai ketara termasuk TH Indo Plantations, TH Properties, TH Plantations, FGV Berhad dan Putrajaya Perdana Berhad.
Suruhanjaya menegaskan TH perlu kembali memberi tumpuan kepada fungsi teras sebagai pengurus dana dan institusi pengurusan haji, selain mengelakkan penglibatan dalam pelaburan berisiko tinggi yang boleh memberi kesan terhadap kedudukan kewangan institusi itu.
RCI berkata reformasi tadbir urus secara menyeluruh penting bagi memastikan TH dapat beroperasi secara profesional, telus dan bebas daripada campur tangan politik, sekali gus mengekalkan keyakinan pendeposit.
RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan beberapa penemuan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding antarabangsa.