
SANAA, 25 Julai – Kumpulan Houthi berikrar akan membalas tindakan Arab Saudi selepas menuduh kerajaan itu menyasarkan infrastruktur awam, ketika konflik di Asia Barat terus merebak ke seluruh rantau.
- Gabungan pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan terhadap lokasi Houthi di Hodeida dan Pulau Kamaran, memusnahkan sasaran ketenteraan yang mengancam perkapalan.
- Houthi mengumumkan sekatan maritim serta menyasarkan kapal milik Saudi, dan didakwa menyerang beberapa kapal di Laut Merah.
- Laluan Laut Merah menjadi tumpuan strategik untuk eksport minyak Saudi selepas gangguan di Selat Hormuz, meningkatkan risiko terhadap perdagangan maritim.
Riyadh melancarkan serangan ke atas sasaran ketenteraan Houthi di Hodeida pada Jumaat, dengan media melaporkan dua individu cedera selepas kumpulan dari Yaman itu mengumumkan sekatan maritim terhadap pengeluar minyak utama dunia berkenaan serta menyerang kapal-kapalnya.
Ketegangan terbaharu itu membuka satu lagi medan konflik susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Tehran pada Februari, selain sekatan Iran ke atas Selat Hormuz, satu-satunya lagi laluan maritim penting bagi Arab Saudi.
“Serangan Saudi ke atas kemudahan awam di Hodeida dan Pulau Kamaran merupakan satu peningkatan yang berbahaya.
“Kami menegaskan bahawa jenayah terbaharu ini tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas,” menurut kenyataan media Ansarollah, sayap media Houthi, menerusi Telegram.
Sumber keselamatan Yaman memberitahu, bahawa pangkalan tentera laut di bandar pelabuhan Hodeida serta sebuah kem tentera di Pulau Kamaran adalah antara sasaran serangan Arab Saudi.
Gabungan tentera yang diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya menyerang lokasi Houthi dan memusnahkan sasaran yang mengancam kapal-kapal dagang sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas perkapalan di Laut Merah.
Serangan itu dibuat selepas Houthi mendakwa menyerang dua kapal Arab Saudi minggu ini, dengan Riyadh mengesahkan salah satu serangan berlaku di Laut Merah.
“Tentera Houthi menyasarkan kapal-kapal dagang di Laut Merah,” kata jurucakap gabungan tentera pimpinan Arab Saudi, Turki al-Maliki, menerusi platform X.
Beliau berkata gabungan itu telah “melaksanakan tindak balas yang tegas dan kuat” dengan menyasarkan lokasi ketenteraan Houthi yang digunakan untuk mengancam laluan perkapalan di Laut Merah, sambil menambah bahawa “operasi ketenteraan kini telah tamat.”
Penduduk Hodeida melaporkan terdengar beberapa letupan, termasuk berhampiran kawasan pelabuhan.
“Serangan udara menyasarkan bangunan telekomunikasi berhampiran pintu masuk timur Pelabuhan Hodeida serta pangkalan tentera laut di Ras al-Kathib, Hodeida,” kata sumber keselamatan itu yang enggan dikenali.
Stesen televisyen al-Masirah milik Houthi melaporkan dua individu cedera, masing-masing seorang pekerja di Hodeida dan seorang wanita di Pulau Kamaran.
Menurut stesen itu, sebuah bangunan telekomunikasi di Hodeida turut terkena serangan.
Pada Isnin lalu, Houthi memberi amaran menerusi siaran radio kepada kapal-kapal bahawa mereka akan menyasarkan mana-mana kapal “milik Saudi” yang tidak mematuhi sekatan maritim yang diumumkan.
Media rasmi Arab Saudi memetik kenyataan seorang pegawai pihak berkuasa pengangkutan ang memaklumkan bahawa kapal NCC MASA milik sebuah syarikat Arab Saudi diserang ketika belayar di Laut Merah, mengakibatkan kerosakan kecil pada badan kapal.
Menurut agensi berita SPA, kapal itu kemudian meneruskan pelayarannya.
Laluan Laut Merah kini menjadi amat penting bagi Arab Saudi untuk meneruskan eksport minyak berikutan gangguan terhadap trafik perkapalan di Selat Hormuz.
Data Kpler menunjukkan pada April dan Mei, semua eksport minyak mentah Arab Saudi melalui laut berlepas dari Pelabuhan Yanbu di Laut Merah.
Pelabuhan itu menyumbang 92 peratus daripada keseluruhan eksport minyak mentah melalui laut pada Jun dan 78 peratus setakat Julai.
Houthi telah berperang dengan kerajaan Yaman sejak 2014 dalam konflik yang mengorbankan ratusan ribu nyawa.
Serangan terbaharu itu mengancam gencatan senjata yang dicapai pada 2022, walaupun perjanjian tersebut telah tamat tempoh. – AFP