PIKM mohon KDN kaji semula kenaikan fi industri keselamatan

Datuk Mohammad Ubaidillah Enam@Iman/ RTM

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula kenaikan beberapa fi berkaitan industri keselamatan swasta serta menetapkan mekanisme harga lantai bagi memastikan kelangsungan industri dan kebajikan pengawal keselamatan terus terpelihara.

Presidennya, Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata kenaikan fi lesen senjata, permit syarikat dan pembukaan cawangan memberi tekanan kepada syarikat keselamatan terutama pengusaha berskala kecil.

Beliau berkata fi lesen senjata misalnya meningkat daripada RM100 kepada RM1,000 setahun bagi setiap senjata, manakala kenaikan fi permit syarikat dan cawangan turut meningkatkan kos operasi industri.

“PIKM turut mencadangkan kerajaan menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan keselamatan kerana persatuan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian berikutan terikat dengan Akta Persaingan 2010.

“Penetapan harga lantai penting bagi mengelakkan persaingan harga tidak sihat yang akhirnya boleh menjejaskan pembayaran gaji serta kebajikan lebih 200,000 pengawal keselamatan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam PIKM sempena Majlis Penghargaan Sekuriti Swasta di sini, malam tadi.

Datuk Mohammad Ubaidillah berkata PIKM turut berharap KDN dapat menetapkan persempadanan lebih jelas antara peranan syarikat keselamatan swasta, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Bantuan bagi mengelakkan pertindihan fungsi di lapangan.

“Ini kerana terdapat projek yang sebelum ini dikendalikan syarikat keselamatan swasta kini dikendalikan RELA, sekali gus memerlukan garis panduan lebih jelas mengenai bidang kuasa setiap agensi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata industri keselamatan swasta ketika ini melibatkan kira-kira 1,200 syarikat dengan lebih 200,000 pengawal keselamatan, termasuk kira-kira 50,000 warga Nepal.

Beliau berkata nilai industri berkenaan dianggarkan mencecah RM10 bilion berdasarkan data pada 2023.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.