Insiden tular cubaan rompak: Pengawal keselamatan patuh SOP – PIKM

Datuk Mohammad Ubaidillah Enam@Iman/ RTM

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menegaskan tindakan pengawal keselamatan yang berdepan insiden cubaan merompak di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Isnin lalu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Presidennya, Datuk Mohammad Ubaidillah Enam@Iman berkata keutamaan pengawal keselamatan dalam situasi berisiko adalah memastikan aset yang dibawa berada dalam keadaan selamat mengikut SOP yang ditetapkan sebelum mengambil tindakan lain.

Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima, pengawal keselamatan terbabit terlebih dahulu memasukkan wang ke dalam van keselamatan serta memastikan aset berkenaan berada dalam keadaan selamat sebelum berdepan suspek.

“Tindakan itu menunjukkan pengawal berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan betul, malah sanggup meletakkan diri dalam keadaan berisiko demi melindungi aset yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam PIKM sempena Majlis Penghargaan Sekuriti Swasta di sini, malam tadi,

Datuk Mohammad Ubaidillah berkata industri keselamatan swasta sentiasa memberi penekanan terhadap pematuhan SOP, latihan berkala dan peningkatan kompetensi anggota bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kekal tinggi dalam menghadapi sebarang ancaman.

Menurut beliau, pematuhan kepada prosedur operasi yang ditetapkan bukan sahaja penting bagi melindungi aset, malah memastikan keselamatan anggota yang bertugas ketika berdepan insiden jenayah.

Pada 20 Julai lalu, media melaporkan seorang lelaki cuba merompak sebuah van keselamatan di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang sebelum bertindak merampas selaras senjata api milik seorang pengawal keselamatan dan melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Dalam kejadian itu, suspek dilaporkan gagal melarikan wang tunai berjumlah RM82,000 selepas pengawal keselamatan terbabit sempat menutup pintu van berkenaan.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata seorang suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan pada pukul 11.00 pagi di Shah Alam bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika disabitkan kesalahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.