
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan MADANI menyalurkan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi bagi menyokong pembangunan serta memperkukuh penyelidikan mengenai sumbangan pemikiran Allahyarham Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi.
- Al-Qaradawi dianggap tokoh pemangkin perubahan, menonjolkan keterbukaan pemikiran dan mencari pembaharuan menghadapi cabaran semasa.
- Beliau mengingatkan agar menjauhkan diri daripada fahaman ekstrem dan terus berpegang kepada prinsip wasatiyah atau kesederhanaan.
- Perdana Menteri menghargai sumbangan pemikiran dan berharap kajian Institut Pemikiran Al-Qaradawi memberi manfaat, keberkatan serta pencerahan kepada ummah.
Sumbangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Dewan Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, Allahyarham Al-Qaradawi merupakan tokoh yang menjadi pemangkin perubahan atau ‘zeitgeist‘ yang menampilkan keterbukaan pemikiran serta sentiasa mencari pembaharuan dalam mendepani cabaran semasa.
Beliau turut mengimbau pengalamannya berinteraksi dan bekerjasama dengan Allahyarham ketika aktif bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang banyak membentuk kefahaman beliau mengenai pendekatan Islam yang sederhana.
“Pada awal kebangkitan semula Islam sekitar tahun 1980-an, Al-Qaradawi pernah mengutuskan pesanan kepada kepimpinan ABIM agar menjauhkan diri daripada fahaman ekstrem serta terus berpegang kepada prinsip wasatiyah atau kesederhanaan,” menurut Perdana Menteri.
Jelas beliau, nasihat itu amat signifikan ketika berlakunya kebangkitan pelbagai aliran pemikiran yang kurang terbuka menerima perbezaan pandangan.
Datuk Seri Anwar turut menyifatkan dirinya amat terhutang budi kepada Allahyarham Al-Qaradawi sama ada daripada aspek pemikiran, sokongan moral mahupun persahabatan yang terjalin atas dasar keikhlasan.
Beliau berharap usaha memperkukuh kajian terhadap pemikiran Al-Qaradawi akan terus membawa manfaat, mendapat keberkatan serta menyumbang kepada pencerahan ummah.