
TUMPAT, 21 Julai – Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) berakhir apabila kenderaan dipandunya terbabas ke dalam sawah selepas melanggar kenderaan pasukan keselamatan dalam kejadian di Kampung Parit Bendang Morak, Jalan Palekbang, Kok Pasir, awal pagi tadi.
- Seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan oleh PGA.
- Sepucuk senapang angin buatan sendiri dan sebotol berisi 61 bebola besi dirampas.
- Nilai rampasan dianggarkan RM2,061.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960; suspek mengaku menggunakan senapang untuk memburu musang dan menjual hasil.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi itu.
Beliau berkata, anggota PGA mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri kenderaan itu untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri dan dalam cubaan itu melanggar bahagian hadapan kenderaan pasukan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke kawasan sawah berhampiran.
“Pemeriksaan ke atas kereta berkenaan menemukan sepucuk senapang angin buatan sendiri di tempat duduk hadapan serta sebotol mengandungi 61 biji bebola besi (ball bearing),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nilai rampasan senapang angin dan 61 biji bebola besi dianggarkan RM2,061.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku senapang angin itu dihasilkan oleh rakannya dan telah berada dalam milikannya sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Katanya, suspek turut mengaku menggunakan senapang angin berkenaan untuk memburu musang sebelum menjual hasil buruan di sekitar Tumpat pada harga RM60 sekilogram.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.