Skim LINDUNG 24 Jam tawar perlindungan komprehensif

Ketua Pegawai Faedah PERKESO, Mustafa Draman.

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menggalakkan pekerja untuk terus mencarum Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) walaupun skim berkenaan kini bersifat pilihan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlindungan menyeluruh LINDUNG 24 Jam menampung kecederaan luar waktu bekerja dan kos rawatan tinggi termasuk pemasangan implan.
  • Skim ini melengkapkan insurans peribadi dengan manfaat komprehensif serta faedah kewangan untuk menampung pemulihan.
  • Mencarum PERKESO bantu elak beban kos rawatan dan kehilangan pendapatan, mengurangkan kebergantungan kepada sumbangan awam atau NGO.

Menurut Ketua Pegawai Faedah PERKESO, Mustafa Draman, perlindungan yang ditawarkan menerusi skim itu bersifat menyeluruh dan mampu membantu pencarum sekiranya ditimpa musibah di luar waktu bekerja.

Tambah beliau, masih ramai pekerja yang beranggapan mereka tidak memerlukan perlindungan berkenaan kerana mempunyai insurans peribadi.

Namun katanya, LINDUNG 24 Jam menawarkan perlindungan komprehensif termasuk menampung kos rawatan tertentu seperti pemasangan implan akibat kecederaan yang boleh mencecah kos tinggi.

“Kami di PERKESO sangat menggalakkan supaya pekerja terus mencarum. Perlindungan yang disediakan ini sangat besar. Kita tidak tahu bila musibah atau kemalangan akan berlaku.

“Walaupun ada yang mempunyai insurans peribadi, perlindungan PERKESO bersifat menyeluruh dan komprehensif. Contohnya, jika berlaku kecederaan yang memerlukan pemasangan implan, kosnya sangat tinggi. Sebab itu kami menyarankan supaya pekerja terus memilih perlindungan LINDUNG 24 Jam” jelasnya selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Dalam pada itu, Mustafa berkata pengalaman PERKESO menguruskan pelbagai tuntutan membuktikan perlindungan sosial bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.

Menurut beliau, ramai mangsa kemalangan berdepan kesukaran menanggung kos rawatan dan kehilangan punca pendapatan, malah ada yang terpaksa mendapatkan bantuan daripada orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan.

“Kita dapati ramai mangsa kemalangan tidak mampu menampung kos rawatan dan pemulihan. Ada yang terpaksa memohon bantuan daripada orang perseorangan atau NGO.

“Dengan mencarum PERKESO, mereka mempunyai satu jaminan untuk menerima faedah sama ada dalam bentuk kewangan atau manfaat lain. Musibah boleh berlaku pada bila-bila masa. Sebab itu saya menyarankan supaya pekerja kekal berada di bawah perlindungan LINDUNG 24 Jam kerana manfaatnya sangat besar,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.