Alternatif laluan eksport durian segar ke China dikaji – KPKM

(Foto kanan) Datuk Chan Foong Hin

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mengkaji alternatif pengangkutan baharu bagi eksport durian segar ke China menerusi laluan darat atau laut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pra perbincangan bersama GACC mengenai protokol baharu, berpandukan kajian saintifik MARDI dan Jabatan Pertanian untuk memenuhi keperluan import China.
  • KPKM mengadakan sesi libat urus bersama pekebun durian untuk mendapatkan pandangan dan memahami situasi semasa industri.
  • Dakwaan lambakan durian import tidak benar; import dari Thailand sangat minimum dan menurun, lebihan bekalan berpunca musim puncak, FAMA laksana intervensi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata kajian itu mengambil kira keperluan memperluas pilihan pengangkutan selain kaedah sedia ada yang bergantung kepada pengangkutan udara.

Beliau berkata pihaknya kini dalam peringkat pra perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) bagi membincangkan protokol baharu membabitkan laluan alternatif berkenaan.

“Kita sedang mengkaji bagaimana untuk berbincang dengan GACC berhubung protokol baharu supaya dapat mencari jalan seperti laluan darat atau laut untuk menghantar durian segar ke China.

“Namun, ia perlu berpandukan kajian saintifik daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Jabatan Pertanian bagi memastikan kaedah berkenaan memenuhi keperluan yang ditetapkan GACC China,” katanya ketika menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Datuk Chan berkata pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama pekebun durian bagi mendapatkan pandangan serta memahami situasi semasa industri berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Chan berkata dakwaan berlaku lambakan durian import dari Thailand yang menjejaskan pasaran tempatan adalah tidak benar.

“Kuantiti pengimportan durian dari negara jiran seperti Thailand adalah sangat minimum, iaitu sekitar dua peratus berbanding pengeluaran durian dalam negara.

“Berdasarkan data Sijil Pematuhan (Certificate of Compliance, COC) melalui Sistem e3P Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), import durian dari Thailand bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 mencatatkan penurunan drastik sebanyak 36.67 peratus iaitu daripada 6,606.86 tan metrik pada tahun 2025 kepada 4,184.58 tan metrik bagi tempoh sama tahun ini.

“Ini sekali gus menunjukkan kemasukan durian import adalah terkawal tanpa berlaku sebarang lambakan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Tuan Niran Tan Kran dan Senator Abdul Nasir Idris.

Tambahnya, lebihan bekalan durian yang berlaku ketika ini berpunca daripada musim puncak pengeluaran buah tempatan antara Jun hingga Ogos dan bukannya disebabkan lambakan durian import.

Beliau berkata KPKM melalui FAMA turut melaksanakan pelan intervensi bagi memastikan hanya durian yang mematuhi piawaian dibenarkan memasuki pasaran tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.