
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) berada dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan mampan hasil pelan penstrukturan semula yang dilaksana pada 2018.
- Pelan penstrukturan melindungi simpanan lebih sembilan juta pendeposit dan membolehkan kos haji dikekalkan 2024 hingga 2026.
- Penstrukturan mencatatkan agihan keuntungan tertinggi dalam tempoh lapan tahun bagi tahun kewangan 2025.
- TH mengambil alih dua aset secara komersial: tanah TRX (RM270 juta) dan UJ Estates (RM695 juta) selepas pemulihan prestasi.
TH dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu berjaya melindungi simpanan lebih sembilan juta pendeposit, sekali gus membolehkan kos haji dikekalkan bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Pelan penstrukturan semula juga telah mencatatkan agihan keuntungan tertinggi dalam tempoh lapan tahun bagi tahun kewangan 2025.
TH dalam pada itu menjelaskan, penstrukturan semula dilaksanakan selepas jurang antara aset dan liabiliti mencecah kira-kira RM10 bilion pada 2018, yang disifatkan mampu mengancam keupayaan TH untuk memenuhi kehendak Akta Tabung Haji 1995.
Tahun ini, TH akan mengambil alih semula dua aset berdasarkan pertimbangan komersial dan bukannya disebabkan kewajipan di bawah pelan penstrukturan.
Antaranya, tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang diperoleh semula pada nilai RM270 juta, mengikut nilai pasaran semasa, berbanding nilai premium RM400 Juta pada 2018.
TH turut mengambil alih semula UJ Estates Holdings Sdn. Bhd pada nilai RM695 juta selepas prestasi aset itu menunjukkan pemulihan.
Menurut TH, pelan penstrukturan sejak 2018 berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan institusi, memastikan agihan keuntungan dapat diteruskan secara mampan serta memelihara kepentingan para pendeposit.