
EAST RUTHERFORD, 20 Julai – Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mengakui Sepanyol merupakan pasukan yang lebih baik selepas skuad kendaliannya tewas 0-1 pada masa tambahan dalam aksi final Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife, New Jersey.
- Scaloni menghargai pemain kerana berjaya melangkah sejauh ini meskipun tidak mencapai matlamat utama.
- Pasukan perlu menerima kekalahan dengan penuh bermaruah, sama seperti mereka meraikan kejayaan sebelum ini.
- Beliau merakamkan penghargaan kepada penyokong yang memberi sokongan padu sepanjang kejohanan.
- Beliau menghargai kedudukan naib juara kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.
Kekalahan itu turut menggagalkan impian Argentina untuk muncul pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 mempertahankan gelaran Piala Dunia.
“Sepanyol adalah pasukan yang lebih baik, itu hakikatnya. Namun saya tetap akan menghargai pemain-pemain saya kerana berjaya melangkah sejauh ini,” kata Scaloni.
Menurutnya, pencapaian mara ke pentas final perlu dihargai memandangkan perjalanan ke tahap itu memerlukan pengorbanan yang besar.
Pengendali berusia 48 tahun itu turut menegaskan bahawa pasukannya perlu menerima kekalahan dengan penuh bermaruah, sama seperti ketika meraikan kejayaan sebelum ini.
“Kami tahu bagaimana untuk menang dan hari ini kami juga menunjukkan bahawa kami tahu bagaimana untuk kalah. Kami menerima keputusan ini, tetapi ia tidak bermakna kami melupakan segala usaha yang membawa kami ke sini,” katanya.
Scaloni turut merakamkan penghargaan kepada penyokong Argentina yang memberikan sokongan padu sepanjang kejohanan.
“Kepada rakyat, para pemain dan seluruh negara, saya ingin katakan kami telah memberikan segala-galanya. Apabila pemain meninggalkan segala-galanya di atas padang seperti hari ini, ia menjadi contoh terbaik kepada rakyat dan negara kami,” tambahnya.
Scaloni berkata pasukannya perlu bangkit semula kerana itu satu-satunya jalan ke hadapan.
Bekas pemain itu turut menyifatkan kejayaan mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut sebagai satu pencapaian yang wajar diberikan pengiktirafan.
“Sudah tentu saya menghargai kedudukan naib juara kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Kami memang mahu menang, tetapi saya tetap bersyukur, walaupun sedih dengan keputusan ini.
“Apabila anda telah memberikan segala-galanya, sama ada bermain dengan baik atau sebaliknya, amat sukar untuk menyalahkan sesiapa,” jelasnya.