
KOTA BHARU, 16 Julai – Projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT209 dan FT131 dari Pasir Hor ke Panchor kini mencapai kemajuan fizikal 71.61 peratus dan dijangka siap pada 8 September tahun depan.
- Projek bernilai RM191 juta sepanjang enam kilometer bertujuan mengurangkan kesesakan, memendekkan masa perjalanan serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.
- Jalan yang hanya dua lorong akan dibesarkan kepada empat lorong, serta dibina empat persimpangan utama dan jejambat.
- Pelaksanaan strategik kerana Kubang Kerian bandar kedua terbesar Kota Bharu dan laluan utama ke Pengkalan Chepa serta Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
- Kontraktor diarahkan bina parit sementara kira-kira 40 meter untuk mitigasi banjir di persimpangan Panchor susulan aduan orang ramai.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bernilai RM191 juta sepanjang enam kilometer itu dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan tempoh perjalanan serta meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Projek ini adalah untuk menangani masalah kesesakan jalan yang selama ini hanya mempunyai dua lorong. Kita akan membesarkannya kepada empat lorong, selain membina empat persimpangan utama serta jejambat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke projek menaik taraf Jalan FT209 dan FT131 dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor ke Panchor, di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Alexander, pelaksanaan projek itu amat strategik berikutan Kubang Kerian merupakan bandar kedua terbesar di Kota Bharu serta menjadi laluan utama ke Pengkalan Chepa dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Katanya, jalan sedia ada yang menghubungkan Kubang Kerian, Sabak dan Pengkalan Chepa kini berdepan kesesakan setiap hari berikutan pertambahan trafik serta kewujudan sekolah, pusat perdagangan dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di sepanjang laluan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut mengambil tindakan segera bagi menangani masalah banjir di persimpangan Panchor susulan aduan orang ramai.
Menurutnya, kontraktor projek telah diarahkan membina parit sementara sepanjang kira-kira 40 meter sebagai langkah mitigasi jangka pendek bagi mengurangkan limpahan air di kawasan berkenaan.