
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kerajaan berjaya merapatkan jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar, mengikut gred purata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sebanyak 26.23 peratus di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.
- Kerajaan berjaya merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar tanpa mengira latar.
- Pengurangan jurang calon layak SPM mengikut jantina mencapai impak positif, kadar pengurangan 52.78 peratus.
- Menjamin akses pendidikan berkualiti dan penyaluran sumber yang mencukupi kepada sekolah di bandar dan luar bandar.
- Kementerian komited membangunkan infrastruktur sekolah daif selaras permintaan dan keperluan demi keselesaan serta pencapaian murid.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia turut memberi impak positif terhadap pengurangan jurang calon yang layak mendapatkan sijil SPM 2024
berdasarkan jantina iaitu sebanyak 52.78 peratus.
“Kita juga akan memastikan akses pendidikan di bandar dan luar bandar akan disediakan dengan akses yang berkualiti dan mencukupi, serta penyaluran sumber yang sedia ada tidak kira sekolah sekolah di bandar mahupun luar bandar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya akan terus komited memberi perhatian secara menyeluruh terhadap pembangunan infrastruktur di sekolah-sekolah daif, selaras dengan permintaan dan keperluan semasa demi keselesaan dan pencapaian murid.
Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari berhubung pengkhususan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mengurangkan jurang pencapaian murid di Dewan Rakyat, hari ini.