Tiada cadangan perkenal pakej haji khas – TH

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak bercadang memperkenalkan tawaran haji khas mengikut kategori tertentu, sebaliknya akan terus mengekalkan sistem pemilihan berdasarkan prinsip “daftar dahulu, didahulukan”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan memastikan pembahagian peluang haji adil, telus dan saksama selaras dengan kuota yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
  • Pengenalan pakej haji khas berpotensi menjejaskan sistem giliran dan merugikan pendeposit yang mendaftar lebih awal.
  • Tiada kes penipuan dilaporkan; penguatkuasaan berterusan dan pasukan petugas TH, PDRM dan MOTAC berjaya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, pendekatan itu bagi memastikan peluang menunaikan ibadah haji diagihkan secara adil, telus dan saksama selaras dengan kuota yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Katanya, pengenalan kategori tawaran haji khas berpotensi menjejaskan sistem giliran sedia ada, selain memberi kesan kepada pendeposit yang telah mendaftar lebih awal.

“Pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam pengurusan giliran haji yang diamalkan oleh Tabung Haji sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mewujudkan pakej haji khas untuk pesara wajib yang menerima bayaran ganjaran persaraan (gratuiti), memandangkan mereka mempunyai kemampuan kewangan tetapi masih perlu menunggu giliran yang lama.

Dalam pada itu, Marhamah berkata, setiap pendeposit akan dimaklumkan mengenai tahun giliran masing-masing dan digalakkan membuat persediaan awal dari segi kewangan, kesihatan serta ilmu berkaitan ibadah haji.

Mengenai isu penipuan pakej haji, beliau berkata, tiada kes penipuan dilaporkan kepada pasukan petugas yang dianggotai TH, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sepanjang musim haji tahun ini.

Menurutnya, kejayaan itu hasil tindakan penguatkuasaan yang berterusan serta kempen kesedaran “Tiada Visa, Tiada Haji”, selaras dengan dasar “No Hajj Without Permit” yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.