Pengukuhan tadbir urus, integriti kunci tingkat keyakinan rakyat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti institusi perlu terus diperkasa bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan dasar kerajaan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh tadbir urus dan integriti institusi supaya dasar dan perkhidmatan dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.
  • Kepimpinan perlu mengamalkan ketelusan dan integriti dalam pelaksanaan dasar seperti yang diperkenalkan kerajaan.
  • Kerjasama dan keserasian antara pihak mesti utamakan perkhidmatan untuk rakyat, bukan kepentingan politik kepartian.
  • Tumpuan kepada peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji kompetitif, penyelenggaraan infrastruktur, penambahbaikan perkhidmatan awam dan pembangunan modal insan melalui pendidikan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Muhamad Fuad Abdul Karim berkata pengukuhan institusi amat penting bagi memastikan setiap dasar dan penyampaian perkhidmatan dilaksanakan secara berkesan, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Dari aspek tadbir urus yang telus, integriti kepimpinan menerusi dasar-dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri dilihat dilaksanakan dengan baik.

“Namun, cabaran utama dalam tadbir urus adalah bagaimana kerajaan dapat memberi nafas baharu kepada institusi sedia ada agar tahap integriti institusi itu terus diyakini rakyat.

“Ini penting supaya setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pada program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Jelas beliau, isu berkaitan kerjasama dan keserasian tidak seharusnya timbul kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu berkhidmat untuk rakyat, bukannya berasaskan kepentingan politik kepartian.

Selain itu kata beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan peluang pekerjaan berkualiti dengan kadar gaji yang kompetitif, selaras dengan peningkatan kos sara hidup semasa.

“Pendekatan berkenaan mampu membantu mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat dalam tempoh jangka panjang.

“Dalam aspek pembangunan pula, kerajaan disaran memberi tumpuan kepada penyelenggaraan infrastruktur, selain mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata, setiap perancangan pembangunan perlu menekankan aspek pembangunan modal insan menerusi pendidikan, peningkatan kemahiran serta pembentukan masyarakat yang lebih berdaya saing.