
KUALA LUMPUR, 13 Julai- Malaysia kekal berdaya tahan berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan perkembangan geopolitik antarabangsa, namun langkah pemantauan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan kestabilan kos, perdagangan dan aktiviti perniagaan negara.
- Perkembangan geopolitik perlu dipantau bagi menilai implikasi terhadap persekitaran perniagaan walaupun kesan ketara belum dikesan.
- Peningkatan Indeks Harga Pengeluar menunjukkan perubahan kos pengeluaran yang mesti dipantau secara berterusan.
- Kerajaan perlu menilai dasar jangka panjang termasuk subsidi untuk seimbangkan kawalan kos sara hidup dan kemampanan fiskal.
- Langkah ekonomi perlu menyokong pertumbuhan sambil mengekalkan kestabilan harga, kerajaan dan bank pusat harus seimbang.
Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME), Dr. Carmelo Ferlito berkata ekonomi Malaysia setakat ini tidak menunjukkan kesan ketara daripada ketegangan geopolitik di Asia Barat, namun perkembangan semasa perlu diberi perhatian terhadap potensi implikasinya kepada persekitaran perniagaan.
Menurut beliau, peningkatan Indeks Harga Pengeluar (PPI) menunjukkan perubahan kos pengeluaran yang perlu dipantau, terutama sekiranya ketidaktentuan global berterusan.
“Kita dapat melihat peningkatan dalam PPI. Sebelum ketegangan di Selat Hormuz, indeks itu berada di bawah paras 115, namun kini meningkat kepada 125. Perkembangan ini perlu dipantau dengan teliti,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus menilai strategi ekonomi jangka panjang, termasuk pendekatan berkaitan dasar subsidi, bagi memastikan keseimbangan antara kawalan kos sara hidup dan kemampanan fiskal.
Mengulas prospek ekonomi negara bagi baki tahun ini, Dr. Carmelo berkata usaha mengekalkan kestabilan harga perlu disokong dengan dasar ekonomi yang berdaya tahan, selain memastikan pertumbuhan ekonomi terus diperkukuh.
“Kerajaan dan bank pusat perlu memastikan sebarang langkah ekonomi yang dilaksanakan mengambil kira keseimbangan antara menyokong pertumbuhan dan mengekalkan kestabilan harga,” katanya.