
TEHRAN, 12 Julai – Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melepaskan tembakan amaran terhadap sebuah kapal yang didakwa menggunakan laluan tidak dibenarkan.
- Tentera AS mengesahkan pusingan serangan baharu terhadap Iran, menurut CENTCOM ia pusingan ketiga minggu ini dan dilakukan atas arahan Trump.
- AS menuduh IRGC menyerang M/V GFS Galaxy, dan mengatakan serangan balas bertujuan melemahkan keupayaan Iran mengancam kapal komersial.
- IRGC memberi amaran akan menyasarkan pangkalan musuh baharu jika tindakan ketenteraan terhadap Iran berterusan, merumitkan rundingan antara kedua pihak.
Agensi berita IRNA melaporkan, IRGC memaklumkan, kapal berkenaan diberi tembakan amaran dan dihentikan selepas mengabaikan arahan berulang kali untuk menggunakan koridor perkapalan yang diluluskan.
“Susulan kejadian ini, Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak. Dan, sehingga berakhirnya campur tangan Amerika Syarikat (AS) di rantau ini, tiada kapal akan dibenarkan melaluinya,” kata IRGC.
IRGC juga memberi amaran bahawa mereka akan menyasarkan pangkalan musuh baharu di rantau ini sekiranya tindakan ketenteraan terus disasarkan terhadap Iran.
Sementara itu, tentera AS pada Sabtu mengesahkan pihaknya melancarkan pusingan baharu serangan terhadap Iran selepas mendakwa kononnya Tehran secara terang-terangan menyerang sebuah kapal kontena di Selat Hormuz.
“Ia merupakan pusingan ketiga serangan terhadap Iran pada minggu ini, ” menurut kenyataan Komando Pusat AS (CENTCOM).
AS menuduh IRGC menyerang M/V GFS Galaxy, sebuah kapal kontena berbendera Cyprus yang sedang melalui Selat Hormuz.
“AS mengenakan balasan setimpal dengan terus melemahkan keupayaan Iran untuk menyerang pelaut awam dan kapal komersial yang melalui selat itu secara bebas,” menurut CENTCOM sambil menambah bahawa serangan tersebut dilaksanakan atas arahan Presiden Donald Trump.
AS dan Iran bertukar serangan sejak beberapa hari lalu serta saling mengeluarkan ancaman.
Tindakan itu merumitkan lagi usaha menyelamatkan rundingan antara kedua-dua pihak.
Laporan agensi berita Axios dan Politico pula menyebut bahawa Washington memberi tempoh sehingga Sabtu kepada Tehran untuk menghentikan tindakan menembak kapal komersial yang melalui Selat Hormuz serta mengiktiraf secara rasmi bahawa laluan perdagangan strategik itu dibuka.
Halangan utama ke arah mencapai persetujuan muktamad berhubung masa depan Selat Hormuz ialah apabila Tehran bertegas mahu mengawal perkapalan melalui laluan air berkenaan, manakala Washington menuntut kebebasan pelayaran tanpa sekatan. – AFP