Deklarasi Ankara: NATO tegaskan prinsip pertahanan kolektif, perpaduan solidariti

Foto REUTERS

GENEVA, 8 Julai – Pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menegaskan semula komitmen terhadap prinsip pertahanan kolektif pakatan itu dengan mengulangi bahawa serangan terhadap mana-mana negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua anggota.

RINGKASAN BERITA AI
  • NATO menganggap Rusia ancaman jangka panjang dan menegaskan keganasan kekal cabaran keselamatan berterusan.
  • Negara anggota meningkatkan perbelanjaan pertahanan, memperluas kapasiti industri dan mempercepat perolehan aset serta inovasi teknologi pertahanan.
  • NATO menguatkan sokongan kepada Ukraine dengan bantuan ketenteraan bernilai €70 bilion pada 2026 dan mengekalkan sokongan pada 2027.

Pendirian itu berdasarkan Deklarasi Sidang Kemuncak Ankara NATO yang diterima pakai sempena sidang kemuncak di Ankara, Turkiye.

“Negara anggota kekal komited terhadap Artikel 5 Perjanjian Washington, hubungan transatlantik serta pendekatan pertahanan dan pencegahan ancaman dari semua arah. Deklarasi itu turut menyifatkan “perpaduan, solidariti dan kekuatan kolektif” sebagai asas kepada keamanan, keselamatan dan kemakmuran bagi satu bilion penduduk di negara anggota NATO,” menurut deklarasi tersebut.

NATO turut menyifatkan Rusia sebagai ancaman jangka panjang terhadap keselamatan rantau Euro-Atlantik, manakala keganasan terus dikenal pasti sebagai cabaran keselamatan yang berterusan.

Susulan itu, negara anggota Eropah dan Kanada dilaporkan meningkatkan perbelanjaan pertahanan melebihi US$139 bilion tahun lalu, selain mengumumkan perolehan aset pertahanan baharu bernilai lebih US$50 bilion.

Negara anggota juga bersetuju memperluaskan kapasiti pengeluaran industri pertahanan, mempercepat inovasi teknologi serta mengurangkan halangan perdagangan dalam sektor pertahanan antara negara anggota.

“Dalam usaha memperkukuh keupayaan ketenteraan, NATO akan terus melabur dalam pembangunan sistem serangan jarak jauh, pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu, sistem tanpa pemandu, keupayaan risikan, teknologi angkasa lepas dan siber, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pengkomputeran awan bagi operasi ketenteraan,” ikrar NATO.

Mengenai konflik di Ukraine, NATO menegaskan sokongan berterusan terhadap kebebasan, kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu.

Pakatan berkenaan turut berjanji menyalurkan bantuan ketenteraan, latihan dan kelengkapan bernilai €70 bilion atau kira-kira US$80 bilion pada 2026, selain mengekalkan tahap sokongan yang sama pada 2027.

Selain itu, NATO turut mengulangi pendirian bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan menggesa negara itu menghormati kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

Deklarasi itu turut merakamkan penghargaan kepada Turkiye sebagai tuan rumah sidang kemuncak berkenaan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.