UDA perkasa pembangunan tanah wakaf menerusi Amaanee Residences

Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah/Foto ihsan UDA

KUALA LUMPUR, 8 Julai – UDA Holdings Berhad (UDA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), proaktif memainkan peranan dalam memajukan tanah wakaf yang berpotensi menerusi pembangunan Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek dibangunkan bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebagai usaha pemulihan dan pembangunan tanah wakaf.
  • Kesinambungan kejayaan pembangunan Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah dan Taman Wakaf Seetee Aisah.
  • Amaanee Residences merangkumi pusat komersial, rumah wakaf dan perumahan kos sederhana, dijangka siap 2027.
  • Nilai tanah meningkat dari sekitar RM34 juta ke RM42 juta; hasil tahunan naik kepada kira-kira RM3.36 juta, memperluas manfaat wakaf.

UDA dalam satu kenyataan memaklumkan, projek yang dilancarkan pada Julai 2023 itu dibangunkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Ketua Pegawai Operasi UDA Land (North) Sdn. Bhd., Ir. Shahrul Arizan Mohamad Adnan berkata projek perumahan tersebut merupakan kesinambungan kejayaan pembangunan Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah dan Taman Wakaf Seetee Aisah sebelum ini.

“Pembangunan Amaanee Residences yang dijangka siap pada 2027 ini merangkumi pusat komersial, rumah wakaf serta perumahan kos sederhana. Ia bukan hanya memenuhi keperluan masyarakat, malah sebahagian daripada usaha merealisasikan potensi aset wakaf demi manfaat ummah secara lebih menyeluruh dan mampan.

“Peranan strategik UDA menerusi beberapa projek pembangunan secara berfasa ini turut berjaya mengangkat potensi tanah wakaf Seetee Aisah sebagai pembangunan yang memberi pulangan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, nilai tanah wakaf berkenaan meningkat daripada sekitar RM34 juta kepada kira-kira RM42 juta manakala hasil tahunannya melonjak daripada kira-kira RM200 kepada sekitar RM3.36 juta.

Tambahnya, peningkatan hasil ini membantu memperluaskan amanah dan hasrat asal pewakaf dalam membantu lebih ramai penerima yang memerlukan menerusi impak yang lebih meluas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.