Pasport Malaysia diperkukuh dengan 94 ciri keselamatan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkenalkan tambahan 45 ciri keselamatan baharu pada pasport negara, menjadikan keseluruhannya 94 ciri keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penambahbaikan selaras piawaian ICAO, meningkatkan pengiktirafan antarabangsa pasport Malaysia.
  • Gambar pemohon kini berwarna dengan lapisan kedua, menjadikan wajah pemegang pasport lebih jelas dan realistik.
  • Pasport dengan tempoh sah melebihi enam bulan masih boleh digunakan; yang kurang boleh diperbaharui di pejabat imigresen.
  • Pengeluaran versi baharu dilaksanakan secara berperingkat; orang ramai dinasihatkan tidak tergesa-gesa menukar pasport.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Mohd Russaini Idrus berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan selaras dengan piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang ditetapkan melalui Dokumen 9303, sekali gus meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap pasport Malaysia.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah gambar pemohon berwarna dengan lapisan kedua, berbeza daripada sebelum ini yang hanya hitam putih.

Ciri itu membolehkan wajah pemegang pasport kelihatan lebih jelas dan realistik.

“Untuk yang mana masih mempunyai pasport yang mempunyai sah laku lebih daripada enam bulan masih boleh digunakan. Yang mana ada keperluan untuk melakukan perjalanan dan pasport kurang daripada tempoh itu, enam bulan, boleh membuat pembaharuan di pejabat imigresen berdekatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi temubual dalam Program Selamat Pagi Malaysia di sini.

Beliau menjelaskan buat sementara waktu ini pasport dalam talian hanya boleh dikeluarkan untuk tempoh lima tahun, manakala di kaunter disediakan pilihan lima atau 10 tahun bagi pemohon berusia 18 tahun ke atas.

Setakat ini, sebanyak 22 pejabat imigresen telah dibuka untuk pengeluaran pasport versi baharu dan proses pemasangan sistem sedang dijalankan secara berperingkat.

Orang ramai dinasihatkan tidak tergesa-gesa menukar pasport kerana kemudahan itu akan diperluas ke seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.