
MIRI, 6 Julai – Seorang wanita warga emas maut, manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Mosjaya di sini, awal pagi tadi.
- PGO JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 6.52 pagi.
- Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral digerakkan ke lokasi.
- Bomba menggunakan peralatan khas RTA untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
- Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Abdul Rahman dengan enam anggota dan sebuah jentera FRT; punca disiasat polis.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.52 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral digerakkan ke lokasi kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta.
“Ketika bomba tiba, pemandu MPV berjaya keluar dari kenderaan namun mengalami kecederaan, manakala penumpang wanita warga emas didapati masih tersepit di dalam kenderaan.
“Manakala pemandu sebuah lagi kereta yang merupakan seorang lelaki, turut berjaya keluar sendiri tetapi mengalami kecederaan,” menurut kenyataan itu.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
Bagaimanapun, wanita warga emas itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Abdul Rahman dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) daripada BBP Miri Sentral manakala punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.