Hampir RM2 juta perkasa perkhidmatan kesihatan Pulau Tuba

Klinik Kesihatan Pulau Tuba

LANGKAWI, 6 Julai – Kerajaan MADANI terus memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan bagi komuniti pulau menerusi penyediaan Ambulans Laut dan Unit Kelahiran Kecemasan (EBU) di Klinik Kesihatan Pulau Tuba, membabitkan peruntukan keseluruhan hampir RM2 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baik pulih dan peningkatan Klinik Desa ke Klinik Kesihatan jenis 7 menelan kos sekitar RM500,000.
  • Ambulans laut 48 kaki bernilai RM1.45 juta mula beroperasi 20 Mei untuk pemindahan pesakit pulau ke Langkawi.
  • Ambulans laut siap 18 minggu lebih awal, mempercepat pemindahan kecemasan laut; purata tujuh hingga 10 kes rujukan bulanan.
  • Unit Kelahiran Kecemasan dinaik taraf daripada Alternative Birthing Centre kos RM50,000; RM320,000 tambahan untuk bilik on-call.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan memastikan setiap rakyat menikmati akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, selamat dan saksama tanpa mengira kedudukan geografi.

“Baik pulih dan perbelanjaan sekitar RM500,000. Berdasarkan beban kerja pada 2023, daripada Klinik Desa (KD) ke Klinik Kesihatan (KK) jenis 7 menelan kos sekitar RM500,000,” katanya ketika melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Pulau Tuba, di sini.

Sementara itu sebanyak RM1.45 juta diperuntukkan bagi perolehan Ambulans Laut Pulau Tuba yang mula beroperasi pada 20 Mei lalu.

Aset maritim sepanjang 48 kaki itu direka khas untuk pemindahan pesakit melalui laluan laut serta dilengkapi kemudahan rawatan kecemasan moden.

Ambulans laut berkenaan digunakan bagi memindahkan pesakit dari pulau-pulau sekitar Langkawi ke fasiliti kesihatan di Pulau Langkawi untuk rawatan lanjut.

Kemudahan itu turut berjaya disiapkan 18 minggu lebih awal daripada jadual asal. Secara purata, antara tujuh hingga 10 kes kecemasan memerlukan rujukan melalui laluan laut setiap bulan.

Dengan adanya ambulans laut tersebut, proses pemindahan pesakit dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, selamat dan efisien, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan sistem respons kecemasan di kawasan kepulauan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperkukuh perkhidmatan kesihatan ibu dan anak melalui Unit Kelahiran Kecemasan (EBU) yang dinaik taraf daripada Alternative Birthing Centre dengan kos RM50,000.

Kemudahan itu berfungsi sebagai pusat kesiapsiagaan bagi menangani kecemasan obstetrik, khususnya ketika proses pemindahan ke hospital terjejas akibat cuaca buruk atau keadaan laut bergelora.

Dalam lawatan itu Datuk Ser Dr Dzulkefly turut mengumumkan peruntukan tambahan RM320,000 bagi pembinaan bilik on-call di fasiliti berkenaan.

Selain itu, Langkawi menerima lima ambulans baharu yang akan ditempatkan di limaKlinik Kesihatan, manakala Kedah menerima keseluruhan 44 ambulans bagimemperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.