
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Pembangunan modal insan berkualiti menjadi teras utama kemajuan negara dalam mendepani perubahan teknologi, cabaran global dan keperluan dunia digital masa kini.
- Kualiti modal insan: berfikir kritis, berkomunikasi efektif, menyesuaikan diri dan bekerjasama merentasi budaya serta sempadan.
- Teknologi dan AI tidak menggantikan kebijaksanaan, integriti dan belas ihsan, nilai karakter tetap ukuran sebenar kepimpinan.
- Generasi muda disaran menuntut ilmu, menghargai kepelbagaian dan memastikan pencapaian memberi manfaat kepada keluarga, komuniti serta negara.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kejayaan sesebuah negara tidak lagi hanya ditentukan oleh kekuatan ekonomi atau kemajuan teknologi semata-mata.
Sebaliknya, bergantung kepada kualiti modal insan yang mampu berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan berkesan, menyesuaikan diri dengan perubahan serta bekerjasama merentasi budaya dan sempadan.
“Kecerdasan buatan (AI) mungkin semakin pintar, namun ia tidak akan menggantikan kebijaksanaan. Teknologi mungkin semakin pantas, namun ia tidak mampu menggantikan nilai belas ihsan.
Maklumat pula mungkin semakin tidak terbatas, namun karakter tetap menjadi ukuran sebenar kepimpinan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan ADNI International Students’ Conference (AISC) 2026 di sini.
Tambah Datuk Seri Fadillah, dalam era digital yang semakin pantas, kebijaksanaan, integriti, nilai kemanusiaan dan belas ihsan kekal menjadi ukuran sebenar kepimpinan.
Beliau turut menegaskan teknologi mampu menghubungkan peranti, namun hanya nilai bersama, saling menghormati dan kepercayaan dapat menghubungkan masyarakat.
Justeru, generasi muda disaran terus menuntut ilmu, menghargai kepelbagaian dan memastikan setiap pencapaian memberi manfaat kepada keluarga, komuniti serta negara.
“Pemimpin masa depan ASEAN sedang dibentuk melalui pilihan dan tindakan generasi muda hari ini,” tambah beliau.
AICS 2026 yang bertemakan “Bersama Maju: Kepelbagaian, Pendidikan dan Kesejahteraan dalam Dunia Digital” menghimpunkan kira-kira 150 pelajar tempatan dan antarabangsa termasuk delegasi dari beberapa negara ASEAN antaranya Filipina, Indonesia dan Thailand.