Program Pembaharuan Teksi MADANI tingkatkan pendapatan, keselesaan pemandu

Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional diluncurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, semalam. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Pemberian permit teksi secara terus dan kekal kepada pemandu menerusi Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional dapat mengurangkan beban bayaran sewa, sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu mengeluh bayaran sewa harian tinggi mengurangkan pendapatan.
  • Kenderaan baharu Proton S70 disediakan, meningkatkan keselesaan dan kepuasan pemandu.
  • Kerajaan umum pengecualian duti eksais dan cukai jualan serta peruntukan RM10 juta dan skim pembiayaan untuk pemandu.

Pemandu teksi, Wong Shu San berkata, pemilikan permit sendiri membolehkan pemandu menikmati lebih banyak hasil daripada pendapatan harian.

“Kalau menyewa, perlu membayar sewa dan pendapatan yang diperoleh akan habis begitu sahaja.

“Bayaran sewa sehari boleh melebihi RM100. Apabila mempunyai permit sendiri, kami boleh memperoleh pendapatan lebih banyak,” katanya kepada RTM.

Seorang lagi pemandu, Suparman Sujono berkata, penyediaan kenderaan baharu menerusi program itu dapat memberikan lebih keselesaan kepada pemandu.

“Memang selesa dan puas hati atas inisiatif yang kerajaan laksanakan ini,” jelasnya.

Sementara itu, B. John berharap kerajaan turut mengambil langkah menstabilkan industri teksi yang kini berdepan persaingan daripada perkhidmatan e-hailing.

“Sebagai pemandu, saya berasa zaman kegemilangan teksi sudah tiada kerana sekarang terdapat banyak perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan sebagainya.

“Tambang perkhidmatan e-hailing tidak boleh dibandingkan dengan tambang teksi,” katanya.

Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional diluncurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, semalam bagi menstrukturkan semula industri teksi tempatan, menamatkan sistem pajakan lama dan menaik taraf kenderaan pemandu.

Menerusi program itu, pemandu menikmati pengecualian penuh duti eksais dan cukai jualan bagi pembelian teksi baharu buatan nasional, selain permit teksi diberikan secara terus dan kekal atas nama mereka.

Proton S70 dipilih sebagai model teksi baharu, manakala kerajaan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi membantu pemandu memiliki kenderaan berkenaan menerusi skim pembiayaan khusus daripada Proton.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.