Lima pegawai penjara berdepan pertuduhan cederakan banduan

Lima pegawai penjara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini./ RTM

TAIPING, 3 Julai – Lima pegawai penjara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan mencederakan tiga banduan pada Januari tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Hairie Jumri dan Saiful Azman didakwa mencederakan P. Jason Immanuel menggunakan cota di Penjara Taiping pada 17 Jan 2025, Seksyen 324 dibaca bersama 34.
  • Ahmad Rizal Razali didakwa menganiaya V. Naveen Kumar di lokasi sama pada tarikh itu; pertuduhan bawah Seksyen 323; jaminan RM3,000.
  • Muhamad Mustakhim Abdul Rahim dan Nor Hafiz Izwan didakwa menyebabkan kecederaan ke atas G. Yugarajan; Seksyen 323 dibaca bersama 34; jaminan RM2,000.
  • Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 7 September bagi beberapa pertuduhan dan 8 September bagi kes dua tertuduh terakhir.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran dan Ahmad Hamdi Mustafar dalam dua kamar berasingan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Hairie Jumri, 40, dan Saiful Azman Mohamad Ibrahim, 44, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas P. Jason Immanuel dengan menggunakan cota.

Kesalahan tersebut dilakukan antara pukul 3 hingga 4 petang, bertempat di Dewan B, Penjara Taiping, 17 Januari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farihah Adilah Fazial manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Aqmarul Aqil Ismail.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Sementara itu, Ahmad Rizal Razali, 37, dituduh di bawah Seksyen 323 kanun keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V. Naveen Kumar pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan tersebut, mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan dua penjamin.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mahkamah menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Dalam pada itu di kamar berasingan, Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, 40, dan Nor Hafiz Izwan Muhammad Jajam, 31, dituduh di bawah Seksyen 323 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas G.Yugarajan juga pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazura Azman manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Aqmarul Aqil Ismail dan Amirul Fairuzzeen Jamaluddin.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang dan menetapkan 8 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.