
TORONTO, 3 Julai – Tandukan pemain gantian, Goncalo Ramos pada penghujung perlawanan memastikan Portugal mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Croatia dalam aksi sengit pada Khamis.
- Cristiano Ronaldo menyempurnakan penalti untuk menyamakan kedudukan, jaringan pertamanya di peringkat kalah mati Piala Dunia.
- Ivan Perisic membuka jaringan untuk Croatia pada minit ke-53, mengejutkan barisan pertahanan Portugal.
- Beberapa gol Croatia dibatalkan kerana ofsaid selepas semakan VAR, termasuk jaringan Josko Gvardiol.
- Croatia menguasai peluang, Kovacic terkena tiang, namun Diogo Costa membuat beberapa halangan penting.
Ramos menyempurnakan hantaran cantik Rafael Leao pada minit keempat masa kecederaan, sekali gus mengecewakan Croatia yang lebih banyak mencipta peluang sepanjang perlawanan di Toronto.
Dalam penamat penuh dramatik, Croatia menyangka berjaya menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir perlawanan, namun jaringan Josko Gvardiol dibatalkan selepas semakan mengesahkan pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Keputusan membatalkan jaringan tersebut sekali gus mengecewakan skuad Vatreni, manakala pasukan Selecao das Quinas meraikan kemenangan yang membawa mereka ke pusingan 16 terbaik.
Cristiano Ronaldo turut memainkan peranan penting apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan selepas Croatia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ivan Perisic.
Gol itu merupakan jaringan pertama Ronaldo di peringkat kalah mati Piala Dunia, sekali gus memastikan karier antarabangsa luar biasanya diteruskan apabila Portugal bakal berdepan Sepanyol di Dallas pada Isnin.
Perisic mengejutkan Portugal apabila menewaskan penjaga gol, Diogo Costa menerusi rembatan rendah pada minit ke-53.
Beberapa minit kemudian, Ronaldo berjaya menjaringkan gol selepas mengawal hantaran jauh, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Portugal kemudian dihadiahkan sepakan penalti apabila Renato Veiga dijatuhkan oleh Nikola Vlasic dalam kawasan penalti.
Selepas semakan VAR, pengadil mengesahkan keputusan memberikan penalti.
Ronaldo tenang menyempurnakan sepakan itu dengan menghantar bola tepat ke tengah gawang sebelum meraikan jaringan berkenaan penuh kegembiraan.
Dalam aksi yang berlangsung rancak, Costa cemerlang menepis rembatan rendah pemain tengah Manchester City, Mateo Kovacic yang kemudian terkena tiang gol.
Croatia terus mengasak dan Petar Sucic berjaya membolosi gawang Portugal, namun jaringan itu turut dibatalkan kerana jelas ofsaid.
Ronaldo kemudian dikeluarkan pada minit ke-81 untuk memberi laluan kepada Ruben Neves.
Croatia terus mencipta lebih banyak peluang, malah Mario Pasalic hampir menghadiahkan kemenangan menerusi tandukan di tiang jauh, namun bola sekadar melewati sebelah tiang.
Bagaimanapun, tandukan Goncalo Ramos pada masa kecederaan memastikan bola menerjah gawang dan mengesahkan kemenangan Portugal serta tiket ke pusingan 16 terbaik. – AFP