
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Pramugara Malaysia Airlines, Hafeez Al-Bukhary Zulkefly yang dikenali ramai kerana layanan mesra dan penuh keikhlasan terhadap jemaah haji serta umrah, meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser usus tahap empat.
- Pemergiannya disahkan oleh sepupunya Hani Mishan menerusi hantaran di Threads.
- Hani memohon orang ramai membaca Al-Fatihah dan mendoakan pengampunan serta tempat terbaik untuk Allahyarham.
- Beliau aktif berkongsi pengalaman bersama jemaah, mendapat pujian dan ramai pengikut di media sosial.
Pemergiannya disahkan oleh sepupunya, Hani Mishan, menerusi hantaran di Threads hari ini.
“Dengan penuh rasa sedih, saya ingin memaklumkan bahawa Hafeez Bukhary Zulkefly telah kembali ke rahmatullah.
“Al-Fatihah. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, memudahkan urusannya di alam kubur dan mengurniakan syurga Firdaus. Amin,” katanya.
Allahyarham Hafeez berusia 42 tahun, sebelum ini mendedahkan di Threads pada 27 Ogos tahun lalu bahawa beliau disahkan menghidap kanser usus tahap empat.
Pada 22 Jun lalu, beliau berkongsi sedang menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil walaupun lemah.
Semalam, Hani memaklumkan keadaan Hafeez semakin kritikal dan beliau telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak, serta memohon orang ramai mendoakan kesembuhan beliau.
Hafeez dikenali ramai dalam kalangan penumpang Malaysia Airlines kerana sikap prihatin dan layanan mesra terhadap jemaah haji serta umrah, khususnya dalam membantu penumpang warga emas sepanjang penerbangan.
Perkongsian beliau di media sosial mengenai pengalaman bersama jemaah turut mendapat perhatian dan pujian ramai serta mengumpul pengikut yang ramai dalam kalangan rakyat Malaysia.