
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Pemain badminton negara diingatkan supaya tidak terburu-buru meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semata-mata mengejar status profesional tanpa persediaan ekosistem sokongan yang kukuh.
- ABM dan BAM mempunyai ekosistem lengkap termasuk sains sukan, kejurulatihan dan modul pemulihan kecederaan.
- Kelab profesional sedia ada belum mampu menyediakan fasiliti setaraf untuk menyokong prestasi pada tahap tertinggi.
- Bergerak bebas menuntut disiplin tinggi serta pengurusan pasukan sokongan dan belanja sendiri.
- Penajaan mendorong pemain keluar tetapi prestasi tidak konsisten boleh merosakkan pendapatan profesional.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan bahawa meskipun bergerak secara bebas menawarkan fleksibiliti, ia menuntut tahap disiplin yang jauh lebih tinggi berbanding ketika berada di bawah naungan badan induk.
Menurut beliau, setakat ini belum ada kelab badminton profesional di tanah air yang mampu menandingi kemudahan menyeluruh yang ditawarkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
“Kita harus akui, ABM dan BAM masih merupakan satu-satunya organisasi yang memiliki ekosistem lengkap, merangkumi kepakaran sains sukan, kejurulatihan, serta modul pemulihan kecederaan yang sistematik.
“Kelab profesional sedia ada masih mempunyai kekangan untuk menyediakan fasiliti setaraf itu bagi membantu prestasi pemain pada tahap tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas trend segelintir pemain badminton negara, merangkumi pemain senior dan muda, yang memilih untuk menamatkan kontrak dengan BAM demi mengejar kerjaya sebagai pemain profesional atau bebas.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Pekan menjelaskan faktor penajaan sering menjadi pemacu utama pemain senior mahupun muda untuk keluar daripada BAM.
Namun, beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai satu risiko besar sekiranya prestasi tidak konsisten.
“Mereka perlu sedar bahawa dalam dunia profesional, prestasi adalah ‘mata wang’ utama. Jika prestasi merosot, pendapatan mereka akan terjejas.
“Berbeza di BAM, bantuan sokongan sentiasa tersedia, tetapi sebagai pemain profesional, segala pengurusan dan pasukan sokongan perlu diuruskan atas inisiatif dan belanja sendiri,” tambah beliau.