
LONDON, 2 Julai – Pemain tengah Portugal, Mateus Fernandes, menyertai Tottenham Hotspur daripada West Ham, umum kedua-dua kelab pada Khamis.
- Perpindahan dilaporkan memecah rekod kelab sekitar £85 juta, menunjukkan pelaburan besar bagi pemain tengah muda.
- Roberto De Zerbi puji kualiti, intensiti dan kecerdikan Fernandes, anggap dia sesuai dengan corak permainan pasukan.
- Berpengalaman Liga Perdana sejak Southampton, pernah debut kebangsaan April tetapi tidak disenaraikan untuk Piala Dunia oleh Martinez.
Fernandes, 21, tiba di London pada 2025 dan perpindahannya dilaporkan memecah rekod kelab bernilai £85 juta (AS$113.4 juta).
Dia menyertai Spurs ketika pengurus Roberto De Zerbi berusaha membina semula skuad berkenaan.
“Spurs ialah sebuah kelab besar dan ketua jurulatih memainkan peranan penting dalam keputusan saya untuk menyertai pasukan ini,” kata Fernandes.
“Apabila kami berbincang, ia merupakan satu detik yang sangat istimewa.
“Kami melihat bola sepak dengan cara yang sama, turun ke padang sebagai satu pasukan yang kuat, berjuang dengan semangat dan tenaga untuk cuba memenangi setiap perlawanan,” katanya lagi.
Fernandes mula berhijrah ke England bersama Southampton dua tahun lalu selepas menimba ilmu di akademi Sporting Lisbon.
Beliau membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Portugal pada April, namun gagal disenaraikan oleh Roberto Martinez dalam skuad Piala Dunia.
“Saya sudah lama mengagumi Mateus kerana dia menggabungkan kualiti ketika menguasai bola dengan intensiti serta kecerdikan yang amat penting dalam corak permainan yang kami mahu terapkan,” kata De Zerbi.
“Walaupun masih muda, dia sudah memiliki pengalaman yang baik dalam Liga Perdana Inggeris serta menunjukkan kualiti dan konsistensi di peringkat ini.
“Mateus tenang apabila berada di bawah tekanan, mampu menggerakkan bola ke hadapan, bekerja keras demi pasukan dan berani mencipta sesuatu pada saat-saat sukar.
“Saya percaya ini adalah persekitaran terbaik untuk dia terus berkembang dan saya teruja untuk mula bekerja dengannya,” tambah pengendali dari Itali itu. – AFP