Malaysia – Belgium perkukuh kerjasama perdagangan, peralihan tenaga

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama rakan sejawatnya dari Belgium, Maxime Prévot / Foto ihsan FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Malaysia dan Belgium komited memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam perdagangan, peralihan tenaga serta industri halal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan hubungan dua hala melalui kerjasama dalam perdagangan, peralihan tenaga dan industri halal.
  • Belgium komited meningkatkan perdagangan dua hala dan akan menyemak semula nasihat perjalanan melibatkan Sabah.
  • Kerjasama peralihan tenaga dan kepakaran teknologi Belgium membuka peluang pelaburan serta cadangan teroka piawaian halal Malaysia untuk EU.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Belgium merangkap Menteri Luar Negeri, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan, Maxime Prévot, yang sedang mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Prévot ke Malaysia sejak dilantik ke jawatan berkenaan pada Februari tahun lalu.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Belgium melalui kerjasama lebih erat antara kerajaan, komuniti perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Belgium turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan perdagangan dua hala serta akan menyemak semula nasihat perjalanan negara itu melibatkan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kerjasama dalam bidang peralihan tenaga juga berpotensi membuka lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama strategik memandangkan Belgium mempunyai kepakaran dalam teknologi baharu dan bahan termaju bagi tenaga hijau.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi industri halal negara, termasuk cadangan Belgium untuk meneroka piawaian halal Malaysia sebagai model yang boleh diterima pakai dengan lebih meluas di Kesatuan Eropah.

Beliau berkata, pertemuan itu terus mengukuhkan hubungan persahabatan Malaysia-Belgium serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.