KESUMA kaji semula peruntukan PHEKS susulan pertambahan kesatuan sekerja

Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof berucap pada Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Sarawak./ FB KESUMA

KUCHING, 2 Julai – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang mengkaji semula peruntukan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bagi memastikan pembangunan dan kebajikan pekerja terus diperkasa selaras pertambahan jumlah kesatuan sekerja serta perubahan keperluan pasaran pekerjaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KESUMA memerlukan pandangan kesatuan mengenai kursus dan program yang perlu diberi keutamaan jika peruntukan dipertingkatkan.
  • 23 kesatuan di Sarawak menerima geran RM310,000 bagi program tadbir urus, pembangunan kepimpinan dan peningkatan kemahiran ahli.
  • Kerajaan MADANI komited memperkukuh kebajikan pekerja serta mengiktiraf kesatuan sebagai rakan strategik bagi hubungan perusahaan harmonis.
  • Kerajaan memperuntukkan RM6.1 juta di bawah PHEKS 2026, termasuk RM3.5 juta untuk aktiviti dan RM2.6 juta untuk program CSR.

Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kajian itu bertujuan mengenal pasti keperluan peruntukan yang bersesuaian supaya lebih banyak program berimpak tinggi dan bersifat strategik dapat dilaksanakan oleh kesatuan sekerja di seluruh negara.

Beliau berkata, kementerian juga memerlukan pandangan dan cadangan daripada kesatuan sekerja mengenai bentuk kursus serta program yang perlu diberi keutamaan sekiranya peruntukan dipertingkatkan.

Beliau berharap kajian berkenaan dapat dimuktamadkan sebelum proses permohonan peruntukan bagi tahun hadapan.

“Kita juga memerlukan input daripada pihak kesatuan untuk memberikan pandangan dan cadangan mengenai bentuk kursus serta program yang sesuai bagi peruntukan yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

23 kesatuan sekerja di Sarawak menerima geran berjumlah RM310,000 hari ini./ FB KESUMA

Pada majlis tersebut, sebanyak 23 kesatuan sekerja di Sarawak menerima geran berjumlah RM310,000 bagi melaksanakan program yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus organisasi, pembangunan kepimpinan serta peningkatan keupayaan dan kemahiran ahli kesatuan.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Azman menegaskan Kerajaan MADANI komited memperkukuh kebajikan pekerja dan mengiktiraf kesatuan sekerja sebagai rakan strategik dalam mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni serta melindungi hak dan kepentingan pekerja.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan KESUMA bagi memperkukuh perlindungan sosial dan kesejahteraan tenaga kerja, termasuk pelaksanaan Perintah Gaji Minimum, Akta Pekerja Gig 2025 serta Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO.

PHEKS dijangka terus memperkasakan kapasiti dan tadbir urus kesatuan sekerja, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berdaya saing serta kemakmuran negara.

Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM6.1 juta di bawah PHEKS Tahun 2026 bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan kesatuan sekerja di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, RM3.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan aktiviti yang melibatkan 386 permohonan daripada kesatuan sekerja di seluruh negara, manakala baki RM2.6 juta disalurkan bagi pelaksanaan program jangkauan komuniti atau tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.