
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kerajaan mempergiat usaha membanteras penggunaan mekanisme dalam talian seperti rangkaian persendirian maya (VPN) dan identiti pihak ketiga bagi tujuan memintas kawalan penguatkuasaan had umur media sosial.
- MCMC dan PDRM bekerjasama dalam penguatkuasaan had umur media sosial, menggunakan maklumat awam dalam siasatan.
- Tindakan terhadap penyalahgunaan teknologi meliputi pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Kerajaan bekerjasama dengan Interpol dan ASEANPOL, sambil mencatat peningkatan kes seksual terhadap kanak-kanak dan melaksanakan ribuan aktiviti pencegahan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dari segi undang-undang, PDRM akan mengambil tindakan berdasarkan maklumat awam dalam siasatan, sekiranya berlaku penyalah gunaan teknologi berkenaan, termasuk menjadikannya sebagai satu daripada asas pembuktian kesalahan.
“Namun, sekiranya digunakan bagi memudahkan pelakuan jenayah seperti penipuan kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyebaran bahan lucah atau kesalahan lain, tindakan akan diambil mengikut undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997 Akta 563)dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut bekerjasama dengan Interpol (Polis Antarabangsa) dan ASEANPOL (Polis ASEAN) dalam menangani isu jenayah siber rentas sempadan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berhubung strategi intervensi teknikal kerajaan dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan had umur pengguna media sosial di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Datuk Seri Dr Shamsul berkata, sebanyak 69 kes di bawah Akta Kesalahan Seksual
Terhadap Kanak-Kanak direkodkan pada 2024, meningkat kepada sebanyak 146 kes
pada 2025, sekali gus memperlihatkan keperluan pelaksanaan dasar had umur media sosial bagi melindungi kanak-kanak dalam ruang digital.
Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan sebanyak 5,985 aktiviti pencegahan jenayah di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.