PBB kecam serangan konvoi bantuan kemanusiaan di Sudan Selatan

foto AFP

SUDAN, 1 Julai – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan terhadap sebuah konvoi bantuan kemanusiaan di Sudan Selatan, mengorbankan lima petugas kemanusiaan PBB.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat petugas kemanusiaan cedera; beberapa orang awam turut dilaporkan terbunuh atau cedera.
  • Konvoi jelas ditandakan sebagai bantuan kemanusiaan.
  • Jurucakap PBB menegaskan serangan tidak boleh diterima, melanggar undang-undang kemanusiaan, dan menggesa siasatan segera.
  • Laporan tempatan: konvoi Yayasan John Dau diserang oleh lelaki bersenjata selepas latihan WFP dan Action Against Hunger; sekurang-kurangnya 17 terbunuh.

“Kami amat berdukacita atas pembunuhan lima petugas kemanusiaan, yang konvoinya dikendalikan oleh rakan kongsi tempatan, diserang hendap semalam di Daerah Duk, Negeri Jonglei,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Beliau berkata empat lagi petugas kemanusiaan cedera dalam serangan itu, manakala beberapa orang awam turut dilaporkan terbunuh atau cedera.

“Rakan-rakan kami memaklumkan bahawa konvoi itu jelas ditandakan sebagai konvoi bantuan kemanusiaan,” katanya.

Dujarric menegaskan, serangan terhadap petugas kemanusiaan yang semakin kerap berlaku tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa sambil menggesa siasatan segera dijalankan.

Menurut laporan media tempatan iaitu Radio Tamazuj, konvoi Yayasan John Dau sedang dalam perjalanan pulang daripada sesi latihan yang dianjurkan oleh Program Makanan Sedunia (WFP) dan Action Against Hunger apabila diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata.

Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu.

Sudan Selatan telah menyaksikan beberapa siri konflik berdarah sejak memperoleh kemerdekaan pada 2011. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.