ATM perlu laksana transformasi strategik – Sultan Ibrahim

Foto BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu melaksanakan transformasi strategik bagi menghadapi perubahan pesat dalam landskap keselamatan global dan serantau yang semakin kompleks serta tidak menentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perubahan doktrin pertahanan akibat kemajuan teknologi memerlukan ATM mengangkat konsep 'Angkatan Masa Hadapan' dan bersedia melakukan anjakan radikal.
  • Baginda menyeru kerajaan memberi keutamaan perolehan peralatan berteknologi terkini dan menyokong struktur baharu ATM.
  • Pegawai baharu diingatkan memimpin dengan bijaksana, adil, menjauhi rasuah, elak malas dan utamakan kepentingan tanah air.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah perubahan doktrin pertahanan yang dipacu oleh perkembangan teknologi memerlukan ATM bergerak seiring dengan konsep ‘Angkatan Masa Hadapan’.

“Sudah pasti setiap perubahan memerlukan anjakan yang radikal. Namun demikian, ‘Angkatan Masa Hadapan’ adalah suatu keperluan strategik yang wajar dilaksanakan. Suka saya ingatkan setiap perubahan hendaklah menuju kearah kebaikan dan bukannya untuk mundur kebelakang.

Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan supaya memberi keutamaan dalam perolehan peralatan berteknologi terkini dan menyokong struktur baru ATM,” tidah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2026 di sini hari ini.

Foto BERNAMA 

Sementara itu, baginda turut menyeru agar setiap pegawai tentera yang ditauliahkan supaya memimpin anggota bawahan dengan bijaksana, adil dan menjadi contoh teladan yang baik.

Selain itu, pegawai-pegawai baharu juga turut diingatkan agar sentiasa menjauhi amalan rasuah, tidak bersikap malas serta tidak meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan tanah air.

“Saudara saudari hendaklah memimpin dengan bijaksana, adil dan menjadi contoh yang baik kepada anggota bawahan.

“Oleh itu jangan sekali-kali makan rasuah, malas bekerja dan meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada kepentingan tanah air,” baginda bertitah.

Seramai 566 Pegawai Kadet (PK) ATM ditauliahkan sebagai Leftenan Muda melibatkan 466 pegawai lelaki dan 100 orang pegawai wanita pada istiadat tersebut .

Daripada jumlah tersebut seramai 438 pegawai merupakan Tentera Darat Malaysia, manakala 111 orang pegawai merupakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan baki 117 orang pegawai lagi adalah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.