Palang Merah lancar rayuan sumbangan kecemasan untuk Venezuela

Penduduk tempatan berdiri di tengah-tengah runtuhan susulan gempa bumi berkembar di Caraballeda, negeri La Guaira, timur laut Caracas / Foto AFP

ISTANBUL, 26 Jun – Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) melancarkan rayuan sumbangan kecemasan pada Jumaat bagi menyokong usaha bantuan di Venezuela selepas dua gempa bumi kuat memusnahkan beberapa kawasan di negara itu, lapor Ajansi Anadolu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekurang-kurangnya 589 maut dan ribuan cedera selepas dua gempa bumi melanda Venezuela.
  • Palang Merah Venezuela menjalankan operasi mencari dan menyelamat, bantuan kecemasan, sokongan psikologi serta penyatuan semula keluarga.
  • IFRC hantar 17 tan bekalan dari Panama dan salurkan 2 juta franc Switzerland segera untuk tindak balas kecemasan.

Rayuan itu bertujuan mengumpulkan 50 juta franc Switzerland (US$61.8 juta) bagi membantu 300,000 penduduk, dengan usaha bantuan pada peringkat awal tertumpu di kawasan yang paling teruk terjejas iaitu La Guaira dan Greater Caracas.

Menurut pihak berkuasa Venezuela, sekurang-kurangnya 589 orang maut manakala ribuan lagi cedera selepas dua gempa bumi melanda negara itu pada Rabu.

“Gempa bumi ini memberi kesan yang amat dahsyat kepada rakyat Venezuela,” kata Setiausaha Agung IFRC Jagan Chapagain, dalam satu kenyataan.

“Hidup puluhan ribu mangsa berubah.”

Palang Merah Venezuela menjalankan operasi mencari dan menyelamat, memberikan bantuan kecemasan, sokongan psikologi, perkhidmatan penyatuan semula keluarga serta penilaian kerosakan sejak gempa bumi melanda, walaupun ramai sukarelawannya sendiri turut terjejas.

“Pasukan IFRC dan Palang Merah Venezuela bertindak balas serta-merta. Kepentingan memiliki pasukan tempatan yang sentiasa bersedia kini jelas terbukti,” kata Chapagain.

“Namun, bencana sebesar ini tidak boleh dipikul oleh pasukan tempatan sahaja,” katanya sambil menggesa masyarakat antarabangsa menyokong rayuan berkenaan.

Persekutuan itu memaklumkan bahawa penghantaran pertama bantuan kemanusiaan dibuat pada Jumaat, melibatkan 17 tan bekalan termasuk set peralatan dapur, kit kebersihan dan kelambu dari pusat logistiknya di Panama ke Venezuela.

IFRC turut menyalurkan 2 juta franc Switzerland daripada Dana Kecemasan Tindak Balas Bencana sejurus selepas bencana itu berlaku.

Ibu pejabat Palang Merah Venezuela mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi berkenaan, manakala sebahagian sukarelawannya kehilangan tempat tinggal. Hospital, klinik dan perkhidmatan ambulans kendalian organisasi itu bagaimanapun terus menyokong sistem penjagaan kesihatan negara yang sedang berdepan tekanan.

Dana yang dikumpulkan menerusi rayuan baharu itu akan digunakan bagi menyediakan perlindungan kecemasan, perkhidmatan kesihatan, hospital medan, sokongan kesihatan mental dan psikososial, bekalan air bersih dan sanitasi, bantuan keperluan asas, bantuan tunai serta perkhidmatan penyatuan semula keluarga.

IFRC turut memaklumkan persatuan Palang Merah di 10 negara Amerika Latin mengaktifkan perkhidmatan bagi membantu keluarga yang terpisah akibat bencana itu untuk berhubung semula di tengah-tengah gangguan komunikasi yang meluas.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.