PH Pahang lantik kepimpinan baharu, perkukuh persiapan hadapi PRU16

Barisan kepimpinan baharu Pakatan Harapan Negeri Pahang

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Pakatan Harapan (PH) Pahang melantik barisan kepimpinan baharu dalam Mesyuarat Agung Tahunan PH Negeri 2025 sebagai langkah memperkukuh organisasi serta menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh struktur organisasi bagi memastikan gerak kerja parti lebih tersusun, berfokus dan berpaksikan kepentingan rakyat.
  • Semua parti komponen digerakkan sepenuhnya untuk menyusun jentera, melaksanakan aktiviti dan bersedia menghadapi PRU16; turut membantu jentera di Johor dan Negeri Sembilan.
  • Mengukuhkan hubungan antara pimpinan dan akar umbi, memperkasa penerangan, khidmat masyarakat serta kesiapsiagaan jentera di seluruh negeri.

Pengerusi baharu PH Pahang ialah Datuk Ahmad Farhan Datuk Sri Fauzi (KEADILAN), manakala Lee Chin Chen (DAP) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (AMANAH) masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengerusi 1 dan Timbalan Pengerusi 2.

Jawatan Setiausaha disandang Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim (KEADILAN), manakala Muhammad Ibrahim Mazalan (AMANAH) dan Leong Yu Man (DAP) dilantik sebagai Penolong Setiausaha, sementara Dr. Sim Chon Siang (KEADILAN) memegang jawatan Bendahari.

Turut dilantik ialah Adnan Mohamed Lazim (KEADILAN) sebagai Pengarah Pilihan Raya, Ibrahim Sulaiman (AMANAH) sebagai Pengarah Komunikasi dan Penerangan, serta Rizal Jamin (KEADILAN) sebagai Pengarah Strategi.

Sekretariat Pakatan Harapan Negeri Pahang menerusi satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh struktur organisasi bagi memastikan gerak kerja parti di semua peringkat dilaksanakan secara lebih tersusun, berfokus dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Mesyuarat turut menetapkan semua parti komponen iaitu KEADILAN, DAP dan AMANAH akan digerakkan sepenuhnya bagi menyusun jentera serta melaksanakan pelbagai aktiviti sebagai persediaan menghadapi PRU16,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PH Pahang akan membantu jentera pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebagai manifestasi kesepaduan serta semangat kerjasama antara parti di peringkat kebangsaan.

Pada masa sama, PH Pahang akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan antara pimpinan dan akar umbi, di samping memperkasa gerak kerja penerangan, khidmat masyarakat serta kesiapsiagaan jentera di seluruh negeri.

“Pakatan Harapan Negeri Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan terdahulu atas segala jasa, sumbangan dan komitmen yang telah diberikan dalam menerajui serta memperkukuh Pakatan Harapan di negeri Pahang,” menurut kenyataan itu lagi.

PH Pahang turut menyatakan keyakinan kepimpinan baharu mampu meneruskan agenda reformasi, kebajikan rakyat, tadbir urus yang baik serta membawa masa depan lebih sejahtera untuk negeri itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.