
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh peranan klinik pengamal perubatan am (GP) swasta sebagai sebahagian daripada tulang belakang sistem penjagaan kesihatan primer negara, termasuk memperluaskan kerjasama dalam rawatan penyakit kronik.
- KKM mengiktiraf sumbangan klinik GP swasta mengisi jurang perkhidmatan komuniti dan mengurangkan beban fasiliti kesihatan awam.
- Pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk memastikan klinik swasta terus beroperasi dan berdaya maju, termasuk penyumberan luar perkhidmatan kesihatan.
- KKM bercadang memperluaskan kerjasama kepada rawatan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
- Pengukuhan kerjasama klinik kerajaan dan GP swasta serta kenaikan bayaran Skim Perubatan MADANI memperkasakan penjagaan primer dan menangani penyakit kronik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan mengiktiraf sumbangan klinik GP swasta yang membantu mengisi jurang perkhidmatan kesihatan di peringkat komuniti serta mengurangkan beban kemudahan kesihatan awam.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan klinik swasta terus beroperasi dan berdaya maju, termasuk menerusi program penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan kesihatan kepada pengamal perubatan swasta.
“KKM juga bercadang memperluaskan skop kerjasama dengan GP swasta daripada peringkat saringan kesihatan kepada rawatan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi,” katanya.
Beliau berkata langkah itu penting memandangkan kementerian tidak mampu bergantung sepenuhnya kepada fasiliti kesihatan kerajaan dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat.
“Peranan GP swasta amat penting dalam rantaian rawatan kesihatan, khususnya menerusi amalan perubatan keluarga yang membolehkan pesakit dipantau secara berterusan sebelum penyakit menjadi lebih serius dan memerlukan rawatan hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, kerajaan sebelum ini turut mengambil langkah meningkatkan kadar bayaran di bawah Skim Perubatan MADANI bagi mengiktiraf peranan GP swasta serta memastikan kelangsungan operasi mereka dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.
Justeru, beliau berkata pengukuhan kerjasama antara klinik kesihatan kerajaan dan GP swasta akan menjadi antara strategi utama KKM dalam memperkasakan sistem penjagaan kesihatan primer serta menangani peningkatan penyakit kronik dalam kalangan rakyat.