Trump dakwa dasar Starmer jejas hubungan diplomatik AS-UK

Foto REUTERS

WASHINGTON, 23 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyelar kegagalan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam menguruskan isu tenaga, imigresen dan hubungan diplomatik dengan Washington menjadi punca kepada peletakan jawatannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump dakwa Starmer utamakan kincir angin, tolak penerokaan minyak Laut Utara, menyebabkan pergantungan bekalan tenaga import dari Norway.
  • Ketegangan meningkat selepas Starmer didakwa melambatkan kebenaran guna pangkalan RAF Akrotiri di Cyprus untuk operasi tentera AS ke atas Iran.
  • Starmer letak jawatan ketua Parti Buruh selepas prestasi buruk pilihan raya; kekal sebagai perdana menteri sepanjang fasa peralihan kuasa.

Bercakap kepada pemberita di Pejabat Oval pada Isnin, Trump turut mendakwa Starmer tersilap langkah dalam dasar tenaga United Kingdom (UK) kerana enggan menerokai hasil minyak di Laut Utara atas alasan alam sekitar.

Sebaliknya membiarkan projek kincir angin berkembang selain terpaksa bergantung kepada bekalan tenaga import dari Norway.

Ketegangan antara kedua-dua pemimpin itu turut dipengaruhi oleh isu ketenteraan apabila Starmer dilaporkan melambatkan kelulusan permohonan AS untuk menggunakan pangkalan udara tentera Britain (RAF Akrotiri) di Cyprus bagi melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran.

“Beliau (Starmer) menyatakan kami tidak boleh menggunakan pulau tersebut untuk pendaratan jet. Itu adalah kali pertama terjadi,” kata Trump sambil menambah meskipun Starmer akhirnya akur memberikan kebenaran, kelewatan tersebut merupakan satu tindakan politik yang sangat mencalarkan imej kepimpinannya.

Trump, yang sebelum ini telah meramalkan kejatuhan Starmer menerusi hantaran di Truth Social, menyifatkan pemimpin Britain itu sebagai “seorang rakan” namun kesal kerana beliau kurang memberikan sokongan terhadap AS dalam isu membabitkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta konflik ketenteraan di Iran.

Trump mengakhiri kenyataannya dengan mendoakan yang terbaik buat Starmer namun menegaskan bahawa pengganti beliau kelak perlu menangani dua isu kritikal yang membelenggu Britain ketika ini iaitu kemelut tenaga, kawalan imigresen, selain peningkatan kadar jenayah domestik.

Sementara itu di London, Starmer secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Parti Buruh selepas berdepan tekanan daripada ahli partinya, susulan prestasi buruk dalam pilihan raya tempatan dan wilayah yang menghakis pengaruh politik beliau.

Meskipun melepaskan jawatan parti, Starmer akan tetap menjalankan tugas sebagai perdana menteri sepanjang tempoh fasa peralihan kuasa bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara.

Penganalisis politik Britain menjangkakan ahli politik veteran Parti Buruh yang juga bekas Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham, bakal dipilih sebagai pengganti selepas beliau kembali ke Parlimen.

Jika disahkan, Burnham akan menjadi Perdana Menteri Britain yang ketujuh dalam tempoh 10 tahun akibat pergolakan politik yang berterusan di negara itu. – REUTERS

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.