
MOSCOW, 23 Jun – Rusia memintas 84 dron dalam tempoh 24 jam lalu, beberapa hari selepas serangan berulang Ukraine ke atas satu-satunya kilang penapisan minyak di ibu negara itu.
- Operasi penerbangan di lapangan terbang utama Moscow digantung sementara selepas serangan, sebelum dibuka semula.
- Sekurang-kurangnya enam maut dalam serangan Rusia di Sumy, Odesa dan Zaporizhzhia, termasuk kanak-kanak dan anggota keluarga.
- Tentera Ukraine mengesahkan serangan terhadap pusat komunikasi satelit Dubna di sekitar wilayah Moscow.
- Dron Rusia menyerang kapal kargo Turki Victress; seorang tukang masak Mesir terbunuh, lapan anak kapal diselamatkan.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, berkata perkhidmatan kecemasan telah dihantar ke lokasi dron yang ditembak jatuh.
Serangan itu turut menyebabkan lapangan terbang utama Moscow iaitu Sheremetyevo, Domodedovo, Vnukovo dan Zhukovskiy menggantung sementara operasi penerbangan mereka sebelum dibuka semula.
Tentera Ukraine mengesahkan telah menyerang pusat komunikasi satelit Dubna di wilayah sekitar Moscow.
Sementara itu, sekurang-kurangnya enam terbunuh dalam serangan Rusia di beberapa wilayah Ukraine termasuk Sumy, Odesa dan Zaporizhzhia.
Di Sumy, serangan dron Rusia mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, bapanya berusia 36 tahun dan neneknya berusia 73 tahun.
Di Zaporizhzhia pula, dua terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan dron Rusia, manakala seorang lagi maut dan tiga cedera selepas peluru berpandu balistik Iskander mengenai sebuah kemudahan pertanian di Odesa.
Dalam perkembangan berasingan, Tentera Laut Ukraine memaklumkan dron Rusia menyerang kapal kargo kering Turki, Victress, yang berdaftar di Panama.
Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Oleksiy Kuleba, berkata seorang tukang masak warga Mesir berusia 58 tahun terbunuh.
Manakala lapan anak kapal lain termasuk warga Turki dan India berjaya menyelamatkan diri menggunakan bot penyelamat.
Beliau berkata dua lagi kapal yang berlayar di bawah bendera Palau dan Belize turut diserang, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, berkata Rusia kekal menjadi ancaman utama kepada keselamatan dan kemakmuran di Laut Hitam. – Reuters.